PPBM ikrar baiki kelemahan selepas kalah di Semenyih

Mukhriz Mahathir berkata, kekalahan di Semenyih ialah mesej rakyat kepada PH.

SEMENYIH: Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka keputusan pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang tidak memihak kepada Pakatan Harapan.

Naib presiden PH itu berkata, gabungan berkenaan akan membaiki segala kelemahan bagi memenangi hati rakyat semula.

“Kami sudah cuba sedaya mungkin, tapi rakyat lebih tahu apa pilihan mereka, kami terima keputusan ini dengan hati terbuka. Mana-mana kelemahan akan kami baiki.

“Kami anggap (kekalahan) ini sebagai satu mesej yang mana kami perlu hayati sebaik mungkin,” katanya di bilik gerakan utama PH malam ini.

Barisan Nasional menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan 4 penjuru dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria, 58, meraih 19,780 undi untuk menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali, 30, yang memperoleh 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Keputusan rasmi itu diumumkan pegawai pengurus pilihan raya, Mohd Sayuthi Bakar di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Aiman mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan PH yang meletakkan beliau sebagai calon PRK itu.

“Terima kasih juga kepada pengundi yang mengundi saya hari ini,” katanya.

Zakaria turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi di Semenyih yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat.

Bagi Kuan atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang”, biarpun tewas, beliau amat berpuas hati dengan sokongan diberikan warga Semenyih.

“Undian yang saya terima menjangkau sasaran saya, saya berpuas hati. Saya akan terus berkhidmat dan membantu rakyat di Semenyih dan kawasan lain.”

Beliau turut menyuarakan hasrat bertanding di kerusi Parlimen Puchong pada pilihan raya umum akan datang.