Putrajaya masih rangka akta baru kawal selia vape, shisha

Malaysia tiada undang-undang untuk mengawal selia shisha dan vape yang tidak mengandungi nikotin. (Gambar Bernama)

IPOH: Kementerian Kesihatan masih di peringkat merangka draf bagi menggubal undang-undang baru mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata usaha merangka undang-undang baru itu perlu dilakukan secara terperinci, sebelum dibentangkan ke Kabinet.

“Saya tidak boleh janji bila ia boleh siap kerana kita masih dalam perbincangan dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menyiapkan draf tersebut.

“Selepas kertas cadangan itu siap, kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan seterusnya dibentangkan di Kabinet dan Parlimen,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Pendengaran Malaysia di sini, hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Lee dilaporkan berkata, kementeriannya sedang menggubal undang-undang baru bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha di negara ini dan akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi selepas draf siap.

Menurutnya, undang-undang sedia ada hanya membabitkan pengawalan produk tembakau di bawah Akta Makanan 1983 dan produk mengandungi nikotin menurut Akta Racun 1952, tetapi tiada undang-undang bagi mengawal produk vape tiada kandungan nikotin.

Mengenai larangan merokok yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya 1 Julai ini, Lee berkata, setakat ini bilangan individu yang melanggar arahan itu menunjukkan penurunan sejak dilaksanakan secara berperingkat 1 Januari lalu.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana memberi sokongan kepada pelaksanaan ini, walaupun tiada kompaun dikeluarkan dan saya harap pelaksanaan ini berterusan.”

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, bagi 6 bulan pertama, Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun, sebaliknya pesalah hanya diberikan notis amaran.