RM200 juta dibayar kepada kontraktor utama ECRL, kata PM

Dr Mahathir Mohamad berkata, perbincangan dengan kontraktor ECRL mendapati projek itu boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion, jauh lebih rendah berbanding RM55 bilion yang dipersetujui kerajaan terdahulu.

PUTRAJAYA: Kerajaan sudah menjelaskan bayaran faedah sebanyak RM200 juta kepada kontraktor utama projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bayaran faedah terhadap hutang berjumlah RM55 bilion itu dibuat kepada China Communications Construction Company (CCCC), selaku kontraktor utama ECRL.

“Dalam 6 bulan ini, untuk faedah sahaja kita terpaksa bayar RM200 juta atas hutang RM55 bilion yang dibuat kerajaan terdahulu.

“Duit ini sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat, tetapi terpaksa digunakan untuk membayar hutang yang ditinggalkan,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Landskap Negara di Taman Botani di sini, hari ini.

Projek ECRL adalah pengangkutan awam penumpang dan kargo sepanjang 688km yang dilancarkan pada Ogos 2017 dan dijadualkan siap pada 2024, kini dikaji semula kerajaan Pakatan Harapan dengan rundingan antara Malaysia dan China masih dijalankan.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, perbincangan pihaknya dengan kontraktor terbabit juga mendapati projek itu boleh dilaksanakan dengan kos RM35 bilion, jauh lebih rendah berbanding RM55 bilion yang dipersetujui kerajaan terdahulu.

“Dia boleh buat dengan kos RM35 bilion sahaja, tetapi kenapa kontrak sehingga RM55 bilion? Mungkin kerana mahu ‘curi duit’ itu,” dakwanya.