Pekebun digesa pelbagaikan tanaman untuk lawan sentimen anti-sawit Eropah, kata menteri

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, buluh, nanas dan kelapa adalah antara tanaman alternatif kepada pekebun kecil yang hanya bergantung pada kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

PETALING JAYA: Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, hasrat kerajaan untuk melihat pekebun mempunyai lebih daripada satu tanaman sebagai punca pendapatan adalah bertujuan untuk melawan sentimen anti kelapa sawit di Eropah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung kenyataannya sebelum ini yang menggesa pekebun menanam buluh, selain memfokuskan kepada tanaman kelapa sawit.

Kata Teresa, atas sebab itu kerajaan menyarankan rakyat supaya mengehadkan peluasan tanaman kelapa sawit.

“Justeru, saya menjelaskan bahawa tujuan kerajaan berbuat demikian adalah sebagai salah satu langkah bagi melawan sentimen anti minyak sawit di Eropah yang kini menjejaskan pengeksportan minyak sawit kita ke pasaran global, khususnya negara Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pekebun disaran beralih kepada tanaman lain, seperti buluh dan kelapa, selaras dengan cadangan kerajaan menghentikan peluasan penanaman kelapa sawit di kawasan baru di seluruh negara.

Mengulas lanjut Teresa berkata, buluh, nanas dan kelapa adalah cadangan alternatif kepada pekebun kecil yang hanya bergantung pada tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan.

“Pemilihan tanaman yang lain adalah bergantung kepada kesesuaian tempat. Ada tempat yang sesuai untuk tanam pokok kelapa, ada yang lebih sesuai untuk nanas atau pokok durian,” katanya.