Terima kasih kelas pertengahan Melayu sokong BN di Semenyih, kata pemimpin Umno

Khaled Nordin berkata, kekalahan PH di PRK Semenyih menunjukkan gabungan itu menghadapi defisit kepercayaan orang Melayu dan Islam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata, kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Semenyih semalam disebabkan kelas pertengahan Melayu kembali menyokong BN dan pengaruh politik PAS dalam menyatukan kaum itu.

Katanya, sokongan pengundi Melayu kepada BN meningkat secara ketara sehingga 59% berbanding 35.33% pada pilihan raya umum ke-14 lalu, manakala sokongan kaum itu terhadap Pakatan Harapan pula merosot daripada 44.3% kepada 37.7%.

“Semua ini menunjukkan PH sedang menghadapi defisit kepercayaan yang sangat ketara di kalangan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, BN merampas semula kerusi DUN Semenyih daripada PH dengan majoriti 1,914 undi, PRK ke-2 yang dimenangi bekas parti pemerintah itu sejak kekalahan mengejut dalam PRU14.

Zakaria Hanafi yang mendapat 19,780 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Muhammad Aiman Zainali yang meraih 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon bebas, Kuan Chee Heng (725 undi).

Khaled berkata, antara faktor mendorong kemenangan BN semalam ialah tiada dasar jelas untuk kelas pertengahan Melayu serta PH gagal memberi penjelasan meyakinkan kerana tidak melaksanakan manifesto pilihan raya mereka.

Katanya, walaupun BN berjaya memenangi PRK Semenyih tanpa sokongan pengundi Cina dan India, tetapi ini bermakna parti itu perlu bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan kedua-dua kaum itu.

“Apabila orang Melayu memilih untuk bersatu dengan matlamat yang jelas, sokongan bangsa Cina dan India tidak lagi menjadi penentu.

“Oleh yang demikian, bangsa Cina dan India sebenarnya tidak mempunyai pilihan, kecuali mencari jalan bekerjasama dengan parti politik Melayu yang dominan.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada PAS yang menyokong perjuangan agenda Melayu dan pengaruh politik Islam semakin terserlah dengan kerjasama kedua-dua parti itu.

Katanya, PRK Semenyih adalah referendum jelas PPBM tidak boleh menggantikan Umno dan PAS sebagai wadah perjuangan politik Melayu.

“Insya Allah, Umno dan BN tidak akan cuai dan leka. Kita tidak akan mengulangi
keangkuhan lepas.”

Bekas menteri besar Johor itu berkata, tindakan PPBM menerima bekas ahli Parlimen Umno hanya “merencatkan moral dan wibawa” parti itu di mata orang Melayu serta sekutu mereka, khasnya DAP.

“…teruskanlah mengutip dan menatang mereka yang melompat ke PPBM. Semakin banyak mereka, semakin menebal kebencian bangsa Melayu (dan bukan Melayu dari DAP dan PKR) kepada parti yang tiada prinsip dan moral.”