Apa nasib anak Orang Asli jika Perak tak iktiraf tanah adat, soal NGO

Orang Asli Gerik membuat bantahan dan sekatan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan tanah adat mereka, baru-baru ini.

PETALING JAYA: Pertubuhan Perlindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bimbang mengenai masa depan anak Orang Asli jika tanah adat dan kawasan penempatan mereka dimusnahkan.

Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kerajaan tidak patut menganaktirikan mereka kerana Orang Asli juga ada hak seperti kaum lain.

“Apa nasib anak-anak Orang Asli sekiranya tiada lagi tanah adat dan bekalan air tercemar akibat pembalakan?” katanya.

Aktiviti pertanian juga, katanya, menyebabkan lambakan bahan kimia dan mengakibatkan bekalan air kotor, sedangkan Orang Asli amat bergantung kepada sumber semula jadi, air sungai yang bersih dan hasil hutan untuk mencari rezeki.

“Bekalan air paip, elektrik, pusat kesihatan dan projek-projek bawah Rancangan Penyusunan Semula (RPS) tidak pernah sampai di sini walaupun sudah 61 merdeka,” katanya merujuk nasib 6 kampung Orang Asli di Gerik yang didakwa tidak diiktiraf kerajaan, iaitu Cenaweng, Cunex, Jemol, Laba, Sungai Leyep dan Kewa.

Shariffa Sabrina berkata, Peka tidak akan terkesan dengan tekanan mana-mana pihak dalam usaha memperjuangkan nasib Orang Asli di Gerik yang terjejas akibat kemusnahan hutan berikutan aktiviti pembalakan sejak 18 Januari lalu.

“Sepatutnya kerajaan Perak tidak melakukan pembalakan dalam kawasan penempatan Orang Asli walaupun ia didakwa sebagai hutan simpan kerana Orang Asli adalah penjaga hutan.

“Secara tidak langsung mereka juga dapat pastikan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan sebagai khazanah alam kekal jika tidak dilakukan pembalakan. Hutan adalah seperti pasar raya dan jabatan bekalan air mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan pusat juga perlu berlaku adil dengan menyaman kerajaan Perak seperti dilakukan ke atas kerajaan Kelantan.

“Di Perak keadaan lebih mudah memandangkan negeri itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.

Peka turut mendesak kerajaan hentikan segala aktiviti pembalakan di Gerik dan menjadikan penempatan Orang Asli sebagai pusat eko-pelancongan.

“Kerajaan hanya perlu beri latihan dan mengendalikan proses pemasaran produk ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Minggu lalu, wakil Peka, Norhayati Shahrom, bersama wakil media, meninjau Kampung Cunex untuk melihat sejauh mana kemusnahan hutan yang berlaku hingga menjejaskan penempatan serta aktiviti kehidupan penduduk di situ.

FMT yang turut menyertai lawatan itu mendapati, kerja pembalakan sedang dilakukan dan kelihatan banyak kayu balak sudah dihimpun dan beberapa kawasan digondolkan.

FMT juga dimaklumkan, hasrat masyarakat Orang Asli di Gerik untuk memiliki tanah adat masih tidak tercapai dan tidak ada sebarang jaminan diberikan kerajaan walaupun perjumpaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy, wakil agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perhutanan Perak telah dibuat.