Isteri, 2 remaja dituduh bunuh CEO Cradle Fund

Tertuduh dituduh mencapai niat bersama melakukan sesuatu dengan menyebabkan kematian ke atas Nazrin Hassan di sebuah rumah di Mutiara Damansara.

PETALING JAYA: Isteri ketua pegawai eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, Samirah Muzzaffar dan 2 remaja serta seorang lagi warga Indonesia yang masih bebas dituduh membunuh Nazrin Hassan pada 13 Jun tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir juga membuat keputusan memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi serta-merta selepas pendakwaan dibacakan terhadap Samirah dan remaja berusia 15 dan 17 tahun itu serta Eka Wahyu Lestari.

Pendakwaan menyatakan, antara jam 10.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018, tertuduh mencapai niat bersama melakukan sesuatu dengan menyebabkan kematian ke atas Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Timbalan pendakwa raya, Jamal Aripin dan Mohd Zain Ibrahim meminta kes tersebut dibicarakan di Mahkamah Tinggi dan mengenakan perintah larangan ke atas media untuk tidak mendedahkan identiti 2 remaja yang terlibat.

Majistret Ikhwan membenarkan kes itu dipindahkan serta-merta namun tarikh perbicaraan hanya akan diberitahu kelak.

Bapa Samirah, Chandra Muzzaffar turut hadir di mahkamah hari ini. Tertuduh diwakili peguam LS Leonard dan Mahindarjit Singh.

Pagi tadi, polis menahan isteri kepada CEO Cradle Fund, Samirah Muzzaffar dan 2 anaknya berhubung kes pembunuhan Nazrin Hassan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Selangor, Fadzil Ahmat berkata ketiga-tiga suspek ditahan di rumah mereka pada jam 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu, Fadzil berkata punca sebenar Nazrin masih dalam siasatan polis selepas laporan bedah siasat ke-2 diterima minggu sebelumnya.

Nazrin, 45, ditemui mati pada 14 Jun 2018 dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Pihak berkuasa pada mulanya menyatakan Nazrin meninggal dunia akibat letupan telefon bimbit yang dicas di tepi katil.

Bagaimanapun, polis mengesyaki Nazrin dibunuh selepas siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat mencadangkan kemungkinan berlaku perbuatan khianat.

Jenazah Nazrin digali semula pada Oktober lalu untuk bedah siasat ke-2 dan Samirah serta bekas suaminya turut disoal siasat polis.

Pada 4 Sept 2018, Samirah direman 7 hari bagi membantu siasatan kematian suaminya. Manakala, 2 anak tiri Nazrin ditahan 4 hari kemudian.