Robot guru tadika pertama di China

Isu kekurangan guru tadika tidak lagi menjadi masalah bagi penduduk di China.

Ini kerana negara tersebut mula beralih kepada teknologi robot sebagai pengganti kepada tenaga pengajar manusia.

Bingo, adalah robot guru tadika pertama direka khas untuk mengajar pelbagai subjek termasuk Sains, Bahasa Inggeris serta cara bermain golf.

Menurut laporan Daily Mail ia direka oleh bapa dua anak berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang sains komputer dari Universiti Tsinghua Beijing, Ming Haibo yang menceburi bidang perniagaan dengan mencipta robot untuk mengajar kanak-kanak di rumah menerusi syarikatnya, Ai Bingo.

Menurut Ming, dia percaya robot mempunyai banyak kelebihan dalam membantu kanak-kanak mengulangkaji pelajaran dan menyemak kerja sekolah mereka.

Bagaimanapun, robot bukanlah pengganti kekal sebaliknya robot hanya membantu dalam kebanyakan tugas guru kerana sentuhan, interaksi melalui mata dan sentuhan tetap diperlukan dalam mendidik kanak-kanak pra-sekolah.

Sehingga kini, robot Bingo sudah dibeli oleh kira-kira 1,500 pra-sekolah di bandar utama seperti Beijing, Tianjin, Zhenzhou dan Wuhan.

Menurut satu laporan China News, 15 juta kanak-kanak dijangka mendaftar untuk kemasukan pra-sekolah setiap tahun menjelang 2021, dan ia sukar untuk ditangani oleh sistem pendidikan di sana.

China juga dijangka akan berdepan masalah kekurangan kira-kira 3 juta guru dan 110,000 pra-sekolah untuk tempoh dua tahun.