Syarikat bina terowong dasar laut Pulau Pinang nafi dakwaan rasuah

Pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pengarah syarikat yang bertanggungjawab membina terowong dasar laut dan 3 projek jalan raya di Pulau Pinang menafikan ia merasuah pegawai kerajaan negeri itu seperti didakwa oleh penulis blog, Raja Petra Kamarudin.

Pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, dakwaan yang dibuat dalam beberapa tulisan penulis itu adalah “keji dan rekaan semata-mata”.

Katanya, sekiranya beliau dituduh memberi rasuah, maka agensi anti-rasuah sudah pasti telah mendakwanya di mahkamah.

“Kes ini disiasat dan diselesaikan lama sebelum kerajaan bertukar. Terdapat banyak masa untuk mendakwa saya atau mana-mana orang lain yang dikatakan menerima rasuah,” katanya dalam satu kenyataan.

Zarul, yang mendakwa tulisan tersebut “dengan jelas bertujuan memfitnah saya, syarikat saya dan kerajaan Pulau Pinang” berkata, Perdana Menteri, Dr Mahathir sendiri menyifatkan tulisan itu bohong.

Beliau berkata, pada tahun lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahannya selama 11 hari bagi menyiasat beliau atas dakwaan rasuah.

Malah katanya, seluruh kakitangan syarikat beliau dipanggil untuk disoal siasat, dengan menghabiskan masa selama 40 hari keluar dan masuk pejabat SPRM.

“SPRM juga menggunakan perunding luar untuk melihat sama ada harga kami adil. Jelas, berdasarkan saiz projek kami, harga kami adil, wajar dan telus.”

Dalam tulisan di blog miliknya, Raja Petra merujuk krpada kertas siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut dan jalan raya itu yang dikatakan bernilai kira-kira RM6.3 bilion.

Menurut tulisan itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa orang anggota exco kerajaan negeri terbabit dalam siasatan tersebut.

Semalam, Lim mengecam tulisan berkenaan sebagai “bohong dan tidak masuk akal”, dengan berkata, SPRM sendiri telah membuat laporan polis terhadap Raja Petra.

Awal tahun lepas, Zenith dilaporkan membayar RM22 juta kepada 2 individu bagi menutup siasatan rasuah ke atas projek tersebut.

2 individu terbabit dibayar untuk melakukan “kerja-kerja perundingan mengenai pematuhan peraturan dan pengurusan risiko” bagi projek berkenaan.

SPRM menahan 5 individu, termasuk Zarul dan merakamkan lebih 120 kenyataan. Bagaimanapun tiada dakwaan dibuat.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Pangkor Road di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth. Pembinaannya dijangka bermula pada 2030 sekiranya projek tersebut didapati sesuai dilaksanakan.

Sementara itu, 3 projek jalan utama berkenaan melibatkan jalan dari Air Hitam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu sejauh 5.7km; Tanjung Bungah ke Teluk Bahang (10.53km); dan persimpangan Jalan Pangkor-Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km). Projek jalan raya ini telah mendapat semua kelulusan yang perlu.