Aktor Beverly Hills 90210, Luke Perry meninggal dunia

Pelakon Luke Perry, yang mula dikenali ramai menerusi drama televisyen popular, ‘Beverly Hills 90210’ meninggal dunia semalam pada usia 52 tahun selepas diserang angin ahmar teruk minggu lalu.

Pegawai publisiti Perry, Arnold Robinson, berkata aktor itu meninggal dunia di hospital di Los Angeles di sisi keluarga dan rakan rapatnya, termasuk bekas isteri Minnie Sharp, dua anak dan tunangnya, Wendy Madison Bauer.

“Keluarga beliau menghargai sokongan dan doa peminat seluruh dunia kepada Luke dan meminta mereka dibiarkan bersendirian pada saat sukar ini.

“Tiada butiran lanjut akan diberikan buat masa ini,” kata Robinson dalam kenyataan.

Perry dikejarkan ke hospital di Los Angeles Rabu lalu selepas diserang angin ahmar, menurut laman web selebriti, TMZ.com, minggu lalu.

Menurut TMZ, Perry tidak sedarkan diri sejak itu.

Pelakon berkenaan jatuh sakit pada hari sama saluran televisyen Fox mengumumkan ia akan menghasilkan semula siri ‘Beverly Hills 90210’ dengan ramai pelakon asal termasuk Jason Priestley, Jennie Garth dan Tori Spelling.

Bagaimanapun, Perry tidak termasuk dalam senarai ketika siri itu kembali bagi siaran enam episod musim panas ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]