Murid 8 tahun maut dilanggar van depan sekolah

Suspek membawa mangsa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia. (Gambar Facebook)

TAWAU: Seorang murid lelaki maut selepas dilanggar van di hadapan Sekolah Kebangsaan Muhibbah Raya, semalam.

Dalam kejadian 5.45 petang itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Addrieyansya Abdullah, 8, beralamat di Kampung Tanjung Batu Darat.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus dalam satu kenyataan hari ini berkata seorang lelaki berusia 37 tahun dan merupakan pemandu van berkenaan turut ditahan malam tadi, bagi siasatan lanjut.

“Berdasarkan siasatan, suspek berada di hadapan sekolah tersebut untuk mengambil beberapa pelajar sekolah dengan menggunakan van persendirian (tanpa permit bas sekolah).

“Semasa mengundur van, dan bergerak ke hadapan suspek terdengar bunyi perlanggaran dan terus memberhentikan kenderaan,” katanya.

Fadil berkata suspek segera membawa mangsa ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan namun mangsa disahkan meninggal dunia.