Pakistan arah sita aset militan haram

Perintah sita aset milik sel militan haram berlaku beberapa hari selepas pertempuran udara meletus antara Pakistan dan India.

KARACHI: Pakistan pada Isnin mengeluarkan perintah bagi menyita aset milik sel militan haram dan beberapa individu yang ditetapkan di seluruh negara selaras dengan peruntukan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), lapor agensi berita Turki Anadolu.

“Kerajaan persekutuan mengeluarkan Perintah (Pembekuan dan Penyitaan) UNSC 2019 selaras dengan peruntukan Akta UNSC Pakistan 1948 (Akta No XIV 1948),” menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas pertempuran udara meletus antara seteru lama Pakistan dan India susulan satu serangan ke atas konvoi militan di rantau Jammu dan Kashmir yang menjadi pertikaian bulan lepas.

India menyalahkan kumpulan militan Jaish-e-Mohammad (JeM) atas serangan yang meragut nyawa lebih 40 anggota tentera itu.

Bulan lepas, Pakistan berjaya menguasai sebuah madrasah di timur laut bandar Bhawalpur yang didakwa beroperasi sebagai ibu pejabat JeM.

“Objektif Perintah (Pembekuan dan Penyitaan) 2019 ialah bagi menyelaras prosedur pelaksanaan sekatan Majlis Keselamatan ke atas individu dan entiti yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Bab VII Piagam PBB memberi kuasa kepada UNSC, yang bertindak di bawah Perkara 41, untuk menentukan langkah-langkah, tanpa melibatkan penggunaan angkatan bersenjata, dalam melaksanakan keputusannya demi menjaga keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Di Pakistan, keputusan Majlis Keselamatan itu dilaksanakan menerusi UNSC 1948 (Akta No XIV 1948).

“Selama bertahun-tahun, rejim sekatan UNSC berkembang. Langkah utama rejim sekatan ini ialah “pembekuan aset” yang mengkehendaki negara terbabit membekukan/menyita aset entiti dan individu sebaik sahaja ia ditetapkan oleh Jawatankuasa Sekatan UNSC yang relevan,” menurut kenyataan itu.