Pemimpin Dewan Perniagaan Melayu akan dipanggil berkait ‘kehilangan’ RM5 juta

Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir didakwa menyeleweng berjuta dana DPMM. (Gambar Facebook)

Wang dari Pejabat Perdana Menteri diberi kepada dewan perniagaan itu tetapi didakwa disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang Bhd tanpa kelulusan

PETALING JAYA: Polis dijangka memanggil beberapa pemimpin Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM5 juta.

Dalam sepucuk surat dilihat FMT, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Putrajaya memanggil pemegang jawatan tertinggi dan 3 ahli untuk mengambil keterangan mereka minggu ini.

Polis berkata, mereka mahu mengambil keterangan mereka sebagai saksi di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah.

Difahamkan, satu laporan polis difailkan terhadap 5 individu itu pada Oktober lalu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kesalahan pecah amanah.

Konflik dalaman kepimpinan DPMM menjadi tumpuan ramai tahun lalu, apabila Timbalan Presidennya, Syed Hussein Alhabshee dan 17 ahli menyaman Presidennya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir dan Setiausaha Agungnya, Don Nazwin Don Najib berhubung RM5 juta yang sepatutnya diperuntukkan Pejabat Perdana Menteri kepada kumpulan itu sebelum pilihan raya umum lalu.

Lapan belas individu itu mendakwa wang itu tidak dimasukkan ke akaun DPMM, sebaliknya disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan Majlis Eksekutifnya.

Mereka turut mendakwa RM1 juta disalurkan kepada DPMM melalui sebuah syarikat dikenali sebagai “Redberry” dan Rizal memutuskan wang itu digunakan untuk kempen pilihan raya, juga tanpa kelulusan Majlis Eksekutif DPMM.

Syed Hussein bersama 17 ahli itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa untuk menyingkirkan Rizal sebagai presiden, November lalu.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, Rizal mengadakan mesyuarat agung tahunan yang memutuskan “pemecatan” 18 individu itu.

Rizal menyifatkan cadangan menyingkirkannya daripada DPMM sebagai “kerja ahli penyangak”.

Syed Hussein bersama 17 yang lain memfailkan injunksi menghalang Rizal dan Don Nazwin melaksanakan resolusi mesyuarat agung tahunan itu.

Injunksi itu akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 5 April ini.