Pendidikan seks… ibubapa mainkan peranan penting jangan malu!

Usia bukan penghalang untuk ibubapa memberikan pendidikan atau pengetahuan mengenai seks kepada anak terutamanya anak perempuan.

Adalah penting untuk faham bahawa peranan ibubapa adalah sangat penting dalam menyalurkan maklumat yang sewajarnya berhubung pendidikan berkaitan seks kepada mereka.

Tanpa pengetahuan yang betul atau kukuh ditambah pula dengan rasa ingin tahu membuak dalam jiwa muda dan remaja mereka, ianya akan membawa kepada mudarat sekiranya pendedahan ini dilengahkan terutamanya mengenai pendidikan seks dan langkah-langkah berjaga.

Ini adalah beberapa nasihat efektif dalam mendidik kanak-kanak tentang seks:

Bila dan bagaimana untuk berdiskusi?

Titik permulaan perbincangan ini semestinya sesuatu yang menjanggalkan.

Menurut seorang misi terlatih dalam bidang sakit puan dan kebidanan, Janine J. Sherman, perbualan ini secara idealnya datang secara tidak dirancang dan santai.

Contoh yang mudah adalah apabila berlakunya adegan seksual atau membabitkan ibu yang hamil dalam rancangan TV.

Permulaan lain yang bagus juga adalah bertanya tentang tabiat kawan-kawan mereka sama ada sudah mula ‘dating’ dan perhatikan reaksi anak anda sama ada mereka ingin teruskan topik tersebut atau tidak.

Anda boleh juga menonton dokumentari atau membacakan buku berkaitan seks bersama dengan mereka.

Pastikan bahan pendidikan yang disediakan mudah untuk difahami dan bebas daripada unsur ghairah kerana tujuan anda adalah untuk memastikan mereka faham fungsi seks dari sudut biologi dan keselamatan diri.

Siapa perlu memainkan peranan: Ibu, bapa atau kedua-duanya?

Ramai merasakan peranan ini lebih sesuai dimainkan oleh ibu dan hal ini mungkin benar dalam banyak situasi kerana faktor jantina yang sama.

Bagaimanapun, bapa yang rapat dengan anak perempuan mereka turut boleh memainkan peranan untuk memberikan pendidikan.

Hakikatnya, ia bergantung kepada siapa yang anak tersebut lebih selesa.

Bagaimana menguruskan soalan cepumas?

Lazimnya, anak-anak di usia awal remaja tidak memikirkan dahulu soalan mereka sebelum mereka bertanya.

Jadinya, akan kerap berlaku soalan mengejutkan anda seperti “Apa itu blowjob?” atau “Kenapa orang lakukan seks?” dan mereka akan mengharapkan jawapan yang mudah daripada pihak anda.

Jika anda tidak dapat menghasilkan jawapan yang bernas, cakap sahaja yang anda akan menjawabnya semula dalam masa terdekat. Jangan senyap sahaja dan biarkan topik itu tidak terjawab.

Apa anak perempuan anda perlu tahu lebih daripada sekadar seks

Selain pengetahuan tentang hubungan seks, lengkapkan sekali mereka dengan kaedah untuk mengenali tindakan-tindakan yang berniat ke arah seks dan langkah keselamatan bagi melindungi diri mereka.

Pada sekitar usia 15 tahun, ajar mereka sekali tentang apa itu hubungan yang sihat dan hubungan yang bersifat mengambil kesempatan.

Jangan lupa untuk ajar juga tentang jenayah seks, cara untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa dan tindakan yang wajar diambil sekiranya berada dalam situasi tersebut.

Akhir sekali, tetapkan had dalam hubungan mereka dalam masa yang sama, tidak terlalu mengongkong kehidupan mereka.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]