Persatuan sokong akta baru asal tidak haramkan vape

Presiden MRECA, Adzwan Ab Manas berkata Dubai kini mengawal dan membenarkan penjualan vape, manakala Indonesia membenarkan penjualan cecair vape dengan mengikut garis panduan.

PETALING JAYA: Kerajaan perlu adil dalam usaha menggubal undang-undang baru bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha.

Presiden Persatuan Peruncit Rokok Elektronik Malaysia (MRECA), Adzwan Ab Manas berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan memperkenalkan akta baru melibatkan penggunaan vape, asalkan industri itu tidak diharamkan.

“Kita menyambut baik akta baru yang bakal dibuat oleh Kementerian Kesihatan jika ia tidak berat sebelah seperti sebelum ini, iaitu rokok membabitkan pengawalan produk tembakau di bawah Akta Makanan 1983 dan cecair vape yang merupakan produk tidak mengandungi tar menurut Akta Racun 1952,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, industri vape tidak sepatutnya diharamkan di Malaysia kerana ia dapat membantu perokok berhenti daripada menyedut tar yang menjadi punya kanser.

“Kita harus memandang positif bagaimana negara maju mengawal selia vape ini. Terbaru adalah tindakan Dubai yang mengawal selia vape dan membenarkan penjualan vape.

“Malah, Indonesia memulakan proses kawal selia dan membenarkan penjualan cecair vape ini dengan mengikut garis panduan.

“Sebagai contoh isu dadah. KKM beri penggunaan metadon kepada penagih dadah kerana ianya kurang berbahaya dari dadah. Sama juga dengan vape, ianya kurang berbahaya daripada rokok,” katanya.

Azwan menambah, pihaknya telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan meminta surat dikeluarkan membenarkan vape tanpa nikotin dijual di Malaysia memandangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak melarang penjualan bahan tanpa nikotin.

“Penjualan cecair tanpa nikotin sekarang di bawah seliaan KPDNHEP. Kita dapat surat tiada halangan daripada KPDNHEP bagi penjualan cecair tanpa nikotin, sementara kajian dibuat bagaimana cecair bernikotin ini dapat dikawal selia oleh KKM.

“Dengan adanya surat tiada halangan daripada KKM bagi cecair tanpa nikotin diberi, maka pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada sebab lagi membekukan lesen perniagaan bagi industri vape. PBT kena faham cecair tanpa nikotin di bawah seliaan KPDNHEP, manakala cecair bernikotin pula dibawah KKM.

“Jadi, PBT tidak seharusnya membekukan lagi lesen premis jika peniaga mendapat surat tiada halangan daripada KPDNHEP,” katanya, merujuk kepada tindakan PBT melarang aktiviti penjualan vape bermula 2015 secara berperingkat mengikut negeri.

Azwan turut mendakwa, PBT masih membekukan lesen premis vape kerana mereka keliru dengan arahan kerajaan dulu.

“Dulu sebab vape mempunyai nikotin tetapi kami ingin meneruskan perniagaan tanpa nikotin, sementara KKM mengawal selia bagi yang bernikotin. Jadi, mereka keliru dengan arahan kerajaan lama,” katanya.

Pengusaha vape pula, katanya, sehingga kini masih berhadapan dengan serbuan demi serbuan oleh PBT walaupun menjual vape tanpa nikotin menyebabkan mereka rugi.

Jana pendapatan negara

Katanya, industri vape mampu menjana pendapatan daripada cukai untuk negara, memandangkan permintaannya cukup tinggi.

“Kami mengharapkan ada sinar bagi industri vape di Malaysia, yang mana Malaysia suatu ketika dulu merupakan pengeluar cecair vape terbesar dunia dan nama Malaysia harum di mata dunia. Industri vape ini amat besar dan bernilai berbilion ringgit. Sebab itulah banyak negara maju mengawal selia industri ini.

“Sistem pencukaian juga dibuat oleh mereka dan kami peniaga vape di Malaysia sedia dikena cukai jika industri ini dapat membantu negara menyumbang kepada hasil negara,” katanya.

KKM dilaporkan sedang merangka draf, menggubal undang-undang baru bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape dan shisha.

Timbalan Menterinya, Lee Boon Chye berkata usaha merangka undang-undang baru itu perlu dilakukan secara terperinci, sebelum dibentangkan di Kabinet.

Menurutnya, undang-undang sedia ada hanya membabitkan pengawalan produk tembakau di bawah Akta Makanan 1983 dan produk mengandungi nikotin menurut Akta Racun 1952, tetapi tiada undang-undang bagi mengawal produk vape tanpa nikotin.

Akhir 2015, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan penggunaan vape adalah haram, diikuti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Fatwa itu dikeluarkan selepas pelbagai pihak melahirkan kebimbangan mengenai kesan vape ke atas golongan muda.