PH kalah di Semenyih kerana Melayu ‘ketakutan’, kata wakil rakyat

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata alasan sebenar Pakatan Harapan kalah pada pilihan raya kecil Semenyih kerana orang Melayu percaya mereka kehilangan kuasa.

“Saya mahu anggap ia kerana PH tidak melakukan secukupnya untuk menangani isu harian rakyat, tetapi kita tak boleh tipu diri sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Sebenarnya, PH tewas kerana orang Melayu takut kehilangan kedudukan mereka, katanya.

“Inilah hakikatnya sebenarnya dan disebarluaskan oleh sepanjang 6 dekad pemerintahan Umno,” tambahnya.

Merujuk kepada ucapan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Nazri Aziz mengenai pelantikan orang bukan Melayu ke jawatan peguam negara, ketua hakim negara dan menteri kewangan, Santiago berkata memomok-momokkan dan penggunaan kaum dan agama dalam politik mengekalkan kekuasaan kerajaan dulu.

“Umno dan PAS terus memanipulasikan ketakutan itu untuk mengikat orang Melayu,” katanya.

Pada pilihan raya kecil Sabtu lepas, calon PH, Muhammad Aiman Zainali kalah kepada calon BN, Zakaria Hanafi dengan 1,914 undi.

Calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul peroleh 847 undi manakala calon bebas, Kuan Chee Heng peroleh 725 undi.

Santiago berkata dasar-dasar yang Umno letakkan untuk mengangkat status ekonomi orang Melayu hanya menghasilkan sekumpulan elit dalam komuniti itu.

“Kalau kita jujur, kita akan akui majoriti orang Melayu masih miskin,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata orang Melayu tiada sebab untuk takut hanya kerana beberapa jawatan penting dipegang orang bukan Melayu.

Beliau berkata kerajaan bertanggungjawab mencipta peluang sama rata untuk semua orang, tetapi ini tidak boleh dilakukan dengan memanjakan orang Melayu atau menambah keistimewaan mereka.

“Walau sesukar manapun cabaran itu, kerajaan mesti berusaha mendapatkan kepercayaan orang Melayu tanpa menjejaskan kepercayaan orang lain.

“Jika tidak, akhirnya ia akan jadi seperti pemerintahan Umno,” katanya.