Simbah anak dengan air panas, bapa dipenjara 2 tahun, 2 sebatan

Seorang ejen jualan kad prabayar mengaku bersalah menyimbah anaknya dengan air panas. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Akibat berang dengan perbuatan anak dan menyimbahnya dengan air panas, seorang bapa, Eddy Noramin Ramli, 41, hari ini terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 2 tahun dan dikenakan 2 sebatan.

Majistret Rosnee Mohd Radzuan menjatuhkan hukuman itu ke atas Eddy Noramin yang membuat pengakuan bersalah di mahkamah yang sama pada 10 Jan lepas terhadap 2 pertuduhan mencederakan 2 orang anaknya.

Dia mengakui pertuduhan pertama di mana dengan niat mencederakan anak perempuannya berusia 9 tahun dengan menyimbahnya menggunakan air panas sehingga melecur badannya di rumah mereka di Flat Kampung Melayu, Ayer Itam, di antara 1 pagi dan 2 pagi 28 Dis lepas.

Pertuduhan ke-2 menyatakan dia melakukan kesalahan yang sama terhadap anak lelakinya berumur 10 tahun di tempat dan masa yang sama. Kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Rosnee menjatuhkan hukuman penjara 2 tahun dan 1 sebatan untuk setiap 1 pertuduhan itu namun membenarkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula 6 Jan lepas.