Kerjasama Umno-PAS untuk kembalikan Najib, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad tertanya adakah PAS sudah menganggap Najib Razak tidak bersalah.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menegaskan perkembangan sekarang menunjukkan kerjasama antara Umno dan PAS ke arah mengembalikan Najib Razak, bekas perdana menteri yang kini berdepan berpuluh tuduhan di mahkamah.

Perdana menteri tertanya adakah PAS, parti Islam terbesar di negara ini, sudah menganggap Najib tidak bersalah.

“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan? Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?” soal pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dalam blognya hari ini.

Beliau berkata memang Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan mahkamah belum diadakan.

“Akan terimakah Najib sebagai pemimpin PAS jika dia didapati bersalah?” kata Mahathir.

Beliau menyoal jika pemimpin dan ahli PAS arif dengan apa yang berlaku serata dunia, kenapakah mereka masih sedia bersekongkol dengan Umno dan Najib.

“Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli Umno sudah tinggalkan Umno kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi?” katanya.

Mahathir berkata PAS juga pasti sedar beberapa buah bank terkenal telah ditutup dan pegawai-pegawai didakwa dan dijel kerana pembabitan dalam skandal 1MDB.

Beliau menyeru PAS supaya sedar nilai yang diterap dengan bekerjasama dengan Najib dan Umno di waktu ini.

“Sudah gugurkah perasaan malu PAS apabila menerima Najib sebagai ‘boss’?” katanya, merujuk kepada slogan “bossku” yang mempopularkan Najib.

Seolah secara tidak langsung menasihati Umno, Mahathir berkata beberapa pemimpin PAS berjumpa beliau dan menyerahkan akujanji menyokong kepimpinannya.

Menurutnya, PAS berkata ia tidak akan berkempen menyokong Barisan Nasional pada pilihan raya kecil DUN Semenyih.

“Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin PAS hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji PAS?” soalnya.

Mahathir berkata PH tidak gentar melihat gabungan PAS dengan Umno kerana ia memberi banyak isu dan peluang kepada PH.

Beliau menambah gabungan itu “agak menarik” kerana isu-isu lama antara PAS dan Umno masih belum selesai.

Dr Mahathir mengingatkan ulama Umno keluar parti untuk menubuhkan PAS atas sebab-sebab agama.

“Semasa kepimpinan Umno yang lepas, salah satu sebab penggabungan, bahkan kerjasama Umno dan PAS tidak berlaku kerana PAS telah mengkafirkan Umno,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa “amanat Hadi”, ucapan 1980-an yang dikaitkan dengan presiden PAS sekarang, Abdul Hadi Awang, membawa kepada kejadian seperti sembahyang 2 imam, tidak mahu makan sembelihan orang Umno, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang PAS jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang Umno, mengharamkan anak mengahwini anak orang Umno, dan mengharamkan isteri mengundi Umno.

“Adakah semua larangan dan amalan ini telah ditarik balik atau diarah untuk dihentikan?” kata Mahathir.

“Apakah orang Umno terima mereka dengan PAS kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak?”