Kes pecah amanah bekas ketua perisik ke Mahkamah Tinggi didengar 15 Mac

Hasanah Ab Hamid mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta ke Mahkamah Tinggi akan didengar pada 15 Mac.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah ketika ditemui media selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad.

“Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dan pihak pembelaan juga tidak membantah permohonan oleh pihak pendakwaan.

“Jadi mahkamah menetapkan 15 Mac untuk permohonan ini didengar di Mahkamah Tinggi bagi merekodkan perintah memindahkan kes ini dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” katanya dan prosiding dalam kamar itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Muhd Ilmami Ahmad.

Pada 25 Okt 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah sebagai seorang penjawat awam iaitu ketua pengarah penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 30 April lalu dan 9 Mei tahun lalu di pejabat ketua pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.