Polis tahan suspek sindiket kerja Kemboja

Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Kuching, malam tadi, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

KUCHING: Polis menahan seorang daripada 3 suspek yang dikehendaki berkaitan kes penipuan pekerjaan di Kemboja, di sebuah kawasan terbuka di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini, pada 10 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak (JSJK), Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek yang dikenal pasti sebagai Chang Ying Siong berumur 25 tahun ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis akan memohon perintah reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Kuching hari ini, sekiranya siasatan belum diselesaikan dalam masa 24 jam,” katanya hari ini.

Beliau berkata, polis masih memburu 2 lagi lelaki yang dikehendaki, iaitu Mohd Ghafar Abd Jamal, 26, dan Lai King Loong, 31.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat, Pricha Azin di talian 019-889 7640 atau ke mana-mana balai polis berdekatan.

Dalam pada itu, 2 suspek yang ditahan pada 25 Februari lalu, iaitu seorang lelaki dan wanita yang masing-masing berumur 35 tahun sudah dibebaskan dengan jaminan polis, Isnin lalu.