Rombongan tahfiz terkandas di Pakistan tiba di Malaysia esok

Pinta Kebangsaan terkandas selepas Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan dengan India ekoran insiden ketenteraan di sempadan kedua-dua negara. (Gambar Facebook)

LAHAD DATU: Seramai 17 anggota rombongan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta Kebangsaan) yang terkandas hampir seminggu di Pakistan, dijangka tiba di tanah air esok.

Semua mereka yang sepatutnya kembali ke tanah air pada 28 Feb lalu selepas lawatan kerja ke Wifaqul Madaris Pakistan, namun terkandas selepas Pakistan menutup ruang udaranya berikutan ketegangan dengan India ekoran insiden ketenteraan di sempadan kedua-dua negara.

Bagaimanapun, ruang udara Pakistan dibuka sepenuhnya sejak Isnin.

Pengerusi Pinta Sabah, Samsuali Marulla yang juga anak jati Lahad Datu, berkata semua mereka akan kembali ke Malaysia secara berasingan menggunakan penerbangan Emirates.

“Alhamdulillah sekarang kami berada di Karachi, semua rombongan sihat dan selamat, semalam kami keluar dari bandar Lahore (difahamkan Lapangan Terbang Lahore masih belum beroperasi), kami menaiki kereta api Green Line Express selama 16 jam perjalanan.

“Setakat 12 tengah hari tadi, 5 anggota rombongan menaiki Emirates Airlines bertolak ke Dubai manakala penerbangan seterusnya ke Dubai pada 7.35 malam (10 orang) dan 10.50 malam (2 orang) dan semua kami(dipecah 2 kumpulan) dijangka bertolak ke Malaysia esok,” katanya.

Beliau yang dihubungi Bernama menerusi aplikasi Whats App, hari ini berkata Kedutaan Malaysia di Islamabad menasihatkan agar rombongan Pinta mencari penerbangan yang tidak melintasi ruang udara konflik dan menggunakan pesawat berkecuali.

Lawatan bermula pada 23 Feb dan diketuai Presiden Pinta Kebangsaan Ustaz Zahid Mahmood itu bertujuan mengkaji secara langsung sistem pengajian tahfiz di Pakistan agar dapat diserapkan dalam Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Dalam pada itu, Samsuali berkata ketika terkandas anggota rombongan menginap di hotel kawasan Lahore yang dikawal rapi tentera Pakistan sebelum berpindah menginap di Jamiah Islamiah Raiwind Lahore dan seterusnya ke Pejabat Wifaqul Madaris di Karachi.

“Pihak Wifaqul Madaris membantu menjaga keselamatan kami selama berada di sini selain menyediakan tempat penginapan serta makan dan kami turut mendapat bantuan dari masyarakat setempat,” katanya.

Setakat semalam, dilaporkan 44 rakyat Malaysia masih terkandas di Pakistan sejak 27 Feb lalu.

Ketegangan di antara 2 kuasa nuklear New Delhi dan Islamabad meruncing sejak serangan pengganas Jaish-e-Mohammed (JeM) di Pulwana, India pada 14 Feb lalu, dan mengorbankan lebih 40 orang serta mencederakan puluhan lagi.