Sabah terima kerjasama Umno-PAS, kata Bung Moktar

Bung Moktar berkata gandingan dengan parti-parti tempatan lain jadi keperluan selepas kekalahan BN pada PRU-14.

PETALING JAYA: Umno Sabah menerima pakatan dengan PAS dan percaya ia tidak akan menggugat kedudukannya di Sabah, negeri yang mempunyai peratusan bukan Melayu dan bukan Islam tinggi.

Beliau percaya Umno Sabah tidak akan rasa tergugat dengan pakatan Umno-PAS itu.

Beliau menambah gandingan dengan parti-parti pembangkang lain di kawasan masing-masing menjadi suatu keperluan selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas.

“Umno Sabah akan mengambil langkah langkah yang lebih berkesan termasuk berkerjasama dengan beberapa komponen parti tempatan dan lain-lain,” kata Pengerusi Bung Moktar Radin.

Beliau berkata semua parti mempunyai kepentingan dan keperluan masing-masing, maka kerjasama dengan parti Islam itu perlu dilihat dalam usaha mendepani pembaharuan politik tanahair.

“Kerjasama Umno dan PAS akan menyaksikan pertembungan 2 gabungan iaitu PH dan BN-PAS pada PRU akan datang,” katanya.

Penganalisis politik berkata peluang Umno memenangi Putrajaya kini semakin sukar apabila ia berganding dengan PAS, kerana parti yang dilihat terlalu membawa agenda Islam itu ditolak oleh parti-parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak.

Sokongan dari Malaysia Timur dilihat perlu untuk membentuk kerajaan persekutuan.