Santesh pertaruhkan Mymuna untuk tembusi pasaran Indonesia

Bukan berbangsa Melayu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada penyanyi Santesh untuk terus maju menembusi pasaran Indonesia.

Pengarah syarikat Datu Entertainment, Rumhadi Rumnan berkata, kelainan itu jugalah yang memberikan Santesh aura istimewa dan sekaligus menarik perhatian ramai.

Katanya kemampuan Santesh menyanyikan lagu Melayu dengan baik adalah dorongan utama untuk Datu Entertainment membawa Santesh ke Indonesia.

Bagi Rumhadi, muzik yang diketengahkan Santesh menampilkan genre dangdut juga antara faktor utama dia dipilih.

“Kita sedia maklum pasaran dangdut di Indonesia sangat besar, justeru saya yakin dengan kualiti vokal dimiliki Santesh, dia mampu membeli jiwa pendengar di sana.

“Tambahan pula, dia seorang lelaki India yang boleh menyanyi lagu bahasa Melayu dengan baik,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu Mymuna di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya mengapa Indonesia dijadikan ‘sasaran,’ Rumhadi berkata, Duta Entertainment sudah membuka cawangan di negara jiran itu, selain mereka juga mempunyai platform digital di sana.

Sementara itu Santesh menyifatkan tawaran yang diterimanya adalah satu peluang keemasan untuk melebarkan sayapnya ke negara jiran, apatah lagi lagu bahasa Melayu pertamanya, Amalina, meledak bagai pisang goreng panas.

“Tahun lepas kami ada pergi ke Surabaya dan banyak menerima reaksi positif dari pendengar muzik Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Datu Entertainment, Raja Mohammad Amin, berkata pihaknya sedang giat memperkenalkan bakat Malaysia di Indonesia.

Katanya, memang pasaran Indonesia sukar ditembusi namun dengan adanya kenalan dan hubungan baik, ia dapat dipermudahkan.

“Alhamdulillah kami ada rakan di sana dan Rumhadi juga boleh berbahasa Indonesia.

“Sebelum ini, pernah semasa tiba di lapangan terbang Surabaya, ramai peminat melaung-laungkan nama Santesh, dari situ kita tahu penerimaan untuk penyanyi itu cukup baik di sana.

“Saya bangga apabila orang kita boleh masuk pasaran luar, cuma kita perlu berusaha menarik perhatian mereka dengan memperkukuh gabungan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]