Bubar Mavcom hanya khabar angin, kata Loke

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

SUBANG JAYA: Menteri Pengangkutan Anthony Loke hari ini mengesahkan berita mengenai pembubaran Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hanyalah khabar angin, dan entiti itu masih beroperasi seperti biasa.

“Ini hanya khabar angin,” katanya ketika ditanya sama ada ada cadangan untuk membubarkan suruhanjaya itu atau menggabungkannya dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Beliau memberitahu pemberita selepas melancarkan perkhidmatan bas ulang-alik Rapid Bus Sdn Bhd dari stesen LRT Putra Heights ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, hari ini.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan Kementerian Pengangkutan sedang menilai cadangan untuk membubarkan Mavcom, dan fungsinya akan diambil alih oleh CAAM.