Bunuh kanak-kanak 3 tahun, suami isteri direman 7 hari

Pasangan suami isteri itu direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. (Gambar Bernama)

LANGKAWI: Dua suspek direman selama 7 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan 3 tahun di dalam sebuah gaung di Gunung Raya, di lokasi yang terletak kira-kira 9m dari jalan raya, pagi semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Ridzwan Salleh di Mahkamah Majistret Langkawi, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang juga pasangan suami isteri itu tiba di pekarangan kompleks mahkamah jam 9 pagi sebelum beredar jam 10.45 pagi.

Pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam polis hanya menemui tengkorak dan sedikit cebisan rambut Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya Ahad lepas.

Seorang suspek lelaki berusia 37 tahun yang ditahan berkaitan kes kehilangan kanak-kanak perempuan itu membawa polis ke lokasi di mana mayatnya dikatakan dibuang.