Kerajaan Johor mungkin beli Legoland, kata exco

Jimmy Puah Wee Tse yakin Legoland tidak akan ditutup selepas taman tema bertaraf antarabangsa itu mempunyai pemilik baru. (Gambar Bernama)

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membeli beberapa aset milik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) yang ingin dijual di negeri ini, termasuklah taman tema bertaraf antarabangsa, Legoland Malaysia Resort.

Bagaimanapun, cadangan itu bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak, iaitu penjual dan pembeli, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse.

Puah berkata, Khazanah menerusi anak syarikatnya, Iskandar Investment Bhd turut memiliki ekuiti dalam beberapa projek lain di negeri ini, termasuk Medini dan EduCity.

“Peranan utama mereka adalah membangunkan beberapa projek pemangkin di Iskandar Malaysia dan setelah projek itu berjalan, peranan mereka berkurangan,” katanya di luar sidang Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang Khazanah berhasrat menjual Legoland.

Menurut Puah, melepaskan aset adalah perkara biasa dalam penstrukturan semula sesebuah syarikat, namun beliau yakin langkah itu tidak akan menyebabkan operasi Legoland ditutup, walaupun bertukar pemilik.