Pemandu mabuk sebabkan 4 maut dipenjara 17 tahun, denda RM39,000

Dalam kejadian awal pagi 8 Julai lalu, 4 lelaki maut dan seorang lagi patah kaki kiri dirempuh sebuah Toyota Vios di kawasan parkir 1Arena, Tawau. (Gambar Bernama)

TAWAU: Seorang eksekutif pengurusan, dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah atas 2 pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan 4 mati dan seorang cedera parah di Jalan Chong Thien Vun, pada Julai tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Olivia Chong Oi Yun, 35 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Awang Kerisnada berkata hukuman itu mewakili kepentingan awam serta denyut nadi keluarga mangsa yang kehilangan anak serta suami akibat kemalangan tersebut.

“Tertuduh merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab kerana perbuataannya minum alkohol sehingga mabuk menyebabkan kemalangan berlaku pada jam 1.20 pagi, yang mana ketika itu tidak banyak kereta di jalan raya dan dalam kes ini ada 5 mangsa, dengan 4 terbunuh seorang cedera parah.

“Tiga daripada 4 yang maut itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mati di hospital, manakala mangsa ke-5 yang dahulunya aktif bersukan mendapat kecederaan parah, kini menjadi seorang orang kurang upaya… masa depan serta keseronokan hidup mangsa dirampas tertuduh selepas dilanggar,” katanya.

Bagi pertuduhan pertama mengakibatkan kematian, Olivia yang bekerja di sebuah syarikat swasta dihukum penjara 10 tahun dan denda RM20,000, serta pertuduhan ke-2 menyebabkan kecederaan parah pada mangsa, hukumannya penjara 7 tahun serta denda RM19,000.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan bermula dari tarikh jatuh hukum, menjadikan tertuduh perlu dipenjara selama 17 tahun, manakala jika tertuduh gagal membayar denda, boleh dipenjara sehingga setahun.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Abdul Ghani Zelika memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman munasabah kerana anak guamnya insaf selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes berlangsung.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira beberapa faktor merangkumi keseriusan kesalahan dilakukan sehingga menyebabkan kematian dan cedera parah serta tertuduh memandu dalam keadaan mabuk serta laju.

Di samping itu hukuman perlu mengambil kira kesan kemalangan terhadap waris mangsa dan Tawau merekodkan kemalangan maut tertinggi di Sabah sejak 2017, serta hukuman itu perlu sebagai mesej dan pengajaran kepada orang awam.

Sepanjang kes dibicarakan mulai Julai lalu seramai 17 saksi pendakwaan serta 2 saksi pembelaan dipanggil, selain Hakim Awang Kerisnada turut meninjau lokasi kemalangan.

Mengikut pertuduhan pertama, Olivia didapati mempunyai banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan dan menyebab kematian kepada 4 individu Hiew Nyuk Wei, 30, Clawence Wong Vun Kit, 21, Dicson Lim Kien Shing, 16 serta Chung Vui Chan, 21.

Bagi pertuduhan ke-2, tertuduh didapati mempunyai banyak alkohol dalam badan sehingga tahap alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan dan menyebab kecederaan parah kepada Chin Guan Xiong, 21.

Dalam kejadian awal pagi 8 Julai lalu, 4 lelaki maut dan seorang lagi patah kaki kiri dirempuh sebuah Toyota Vios di kawasan parkir Pusat Komersil BDC (1Arena) di Jalan Chong Thien Vun.

Dalam kejadian itu, kereta dipandu wanita terbabit turut melanggar sebuah van Toyota Hiace serta 2 kereta, Perodua Bezza dan Myvi.