Penduduk PPR Taman Manggis halang wakil PM tinggalkan Komtar

Setiausaha politik PM, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu hampir 20 minit selepas penduduk menghalang laluan keluar kenderaannya dari bangunan Komtar, malam ini.

GEORGE TOWN: Sekumpulan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diarahkan mengosongkan unit sewaan mereka baru-baru ini cuba menghalang setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, daripada meninggalkan lokasi pertemuan mereka malam ini.

Setiausaha politik perdana menteri, Abu Bakar Yahya, terpaksa menunggu di dalam keretanya hampir 20 minit selepas kumpulan penduduk menghalang laluan kenderaannya keluar dari bangunan Komtar di sini, di mana mereka berkumpul sejak semalam.

Bagaimanapun, kehadiran beberapa orang pegawai dan anggota polis ke lokasi itu berjaya meredakan keadaan kecoh itu bagi membolehkan Abu Bakar meneruskan perjalanannya.

Ketua Pemuda PPBM Pulau Pinang, Shameer Sulaiman yang turut dikepung oleh sekumpulan penduduk yang tidak berpuas hati dengan penjelasannya juga terpaksa meninggalkan ruang legar bangunan itu dengan bantuan polis.

Sebelum itu, Abu Bakar tiba di bangunan Komtar kira-kira pukul 7.00 malam untuk bertemu penduduk yang terlibat bagi mendengar sendiri isu yang dihadapi mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abu Bakar berkata, beliau membuat pertemuan itu atas arahan Dr Mahathir yang mahukan beliau mendapat gambaran sebenar berhubung isu dihadapi penduduk terbabit serta penduduk di Tanah Wakaf Abdul Cauder, Jalan Mengkuang, di Butterworth.

Beliau juga mendapatkan maklum balas daripada Jabatan Perumahan Negeri dan menurutnya, jabatan itu memang bersedia membantu penduduk mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

“Saya akan menyediakan laporan yang akan diberikan kepada Tun (Mahathir),” katanya, dan seterusnya meminta rakyat tidak mudah menerima perkara yang tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggung jawab.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit kediaman di PPR Taman Manggis itu kerana mereka melanggar beberapa syarat mendiami kawasan berkenaan.

Antara pelanggaran syarat itu ialah mendiami perumahan itu melebihi 5 tahun dan ada dalam kalangan mereka yang tinggal di PPR itu sehingga 11 tahun.

Katanya tindakan mengeluarkan notis pengosongan itu terpaksa diambil kerana ingin memberi peluang kepada pihak yang lebih layak untuk mendapatkan kemudahan tersebut.