Pihak berkuasa bersenjata didakwa ugut Orang Asli buka ‘halangan’ balak di Gerik

Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu, Pam Yeek (kanan) menunjukkan laporan polis yang mendakwa Orang Asli diugut oleh pihak berkuasa supaya membuka sekatan terhadap laluan pembalak di Cunex Hulu, Gerik.

PUTRAJAYA: Orang Asli Gerik mendakwa pihak berkuasa, termasuk yang lengkap bersenjata, mengugut dan meminta masyarakat itu membuka halangan yang dibuat oleh mereka ke atas laluan pembalak.

Pengerusi Jaringan Kampung Tasik Asal Cunex Hulu, Pam Yeek berkata, kejadian itu berlaku pada 3 Mac lalu apabila 11 individu, terdiri daripada Jabatan Perhutanan Perak, anggota polis dan tauke balak menaiki 5 buah kenderaan pacuan 4 roda menuju ke perkampungan mereka.

“Semasa tiba, mereka menjerit memanggil penghulu kampung dengan nada yang kasar menyebabkan penduduk kampung, termasuk kanak-kanak, wanita ketakutan lalu melarikan diri.

“Saya meminta mereka semua menandatangani buku pelawat yang kami sediakan, tetapi mereka enggan. Mereka memaklumkan kepada saya dan penduduk bahawa mereka mahu pecahkan halangan yang kami buat,” katanya dalam satu laporan polis yang dilihat FMT.

Dalam laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 5 Mac lalu, Pam turut mendakwa pihak berkuasa terbabit mengugut mahu menangkap Orang Asli di situ jika ingkar arahan membuka halangan berkenaan.

“Kami cuba mengambil gambar dan merakam video, tetapi mereka beri amaran supaya tidak ambil gambar dan video menyebabkan kami penduduk ketakutan,” katanya sambil memaklumkan bahawa satu laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik sebelum itu meminta aktiviti pembalakan dihentikan sehari sebelum pihak berkuasa memasuki kawasan perkampungan mereka.

Menerusi rakaman audio diterima beberapa media, termasuk FMT, mendapati beberapa individu dipercayai pihak berkuasa cuba memujuk dan berbincang dengan Orang Asli supaya sekatan kepada pembalak dihentikan.

Laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 5 Mac lalu.

Mereka memberitahu bahawa kedatangan mereka adalah untuk menyelesaikan isu Orang Asli di situ dengan cara baik.

“Kita tidak mahu gaduh-gaduh dengan kamu, kalau nak kerajaan iktiraf tanah adat bukan kuasa Jabatan Hutan, cuma yang ada kuasa kerajaan Malaysia yang tadbir di Putrajaya.

“Sekarang mereka (pembalak) buat kerja atas arahan pihak atasan, kalau kamu buat kerja orang kacau, kamu pun tidak suka. Macam itu juga mereka (pembalak). Mereka hanya jalankan tugas sahaja,” kata seorang individu dalam rakaman suara itu.

Sementara itu, seorang lagi individu memberitahu bahawa tindakan yang diambil oleh Orang Asli dengan mengadakan sekatan terhadap pembalak adalah salah.

Individu itu turut memarahi Orang Asli yang mempersoalkan kehadiran pihak berkuasa tanpa memaklumkan kepada mereka terlebih dahulu supaya dapat mengumpulkan orang kampung untuk berbincang.

“Tindakan kamu buat sekarang ini sudah salah, menghalang lalu lintas. Kami datang dengan cara baik, nak cari penyelesaian masalah ini.

“Kenapa kamu ingat kami nak masuk kena bagi notis kepada kamu? Ikut undang-undang apa? Kamu ingat aku ini orang kampung biasa ke? Aku ini polis. Aku datang di sini atas tiket kerja. Bila-bila masa aku boleh masuk, pagi ke siang ke malam ke, bukan dekat nak masuk (ke sini).”

“Kalau kamu nak apa-apa boleh beritahu syarikat pembalakan. Nak jalan cantik ke, mereka boleh tolong, bukan bermusuh. Kita nak benda selesai cara elok. Yang salah tetap salah, kami masuk tangkap,” kata individu dalam rakaman audio itu.

Ketika ditemui media di Putrajaya hari ini, Pam memaklumkan bahawa pihak berkuasa terbabit meminta mereka membuka sekatan supaya balak yang siap ditebang boleh dibawa keluar.

“Sebelum ini pihak polis hanya memerhati sahaja bila Jabatan Hutan masuk jumpa Orang Asli untuk berbincang. Kali ini pihak polis bersuara dan Jabatan Hutan senyap.

“Sebelum ini juga kalau pihak polis masuk mereka tidak pernah bawa senjata. Kali ini mereka ada yang bawa senjata tapi berpakaian biasa, kami memang takut.

“Kita tidak buat sekatan cara ganas, kita ikut undang-undang. Kita akan tetap buat sekatan dan jika ditawar imbuhan kami tidak mahu,” katanya.

Pam yang mewakili mewakili penduduk Orang Asli Tasik Cunex turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana mendakwa masyarakat itu cuba disogok dengan habuan supaya membuka sekatan berkenaan.

“Mereka kata apa kamu nak? Mereka dari Jabatan Hutan, tauke balak. Mereka tanya 2 perkara, nak wang ringgit atau tanah, kami cakap nak tanah itu sahaja. Cara mereka bertanya itu macam nak merasuah kami sebab itu kami buat laporan kepada SPRM hari ini,”katanya.

Pam berkata, selain laporan polis dan SPRM, pihaknya turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tentang salah laku pihak berkuasa yang didakwanya membuat ugutan.

Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) berkata, pihak berkuasa sepatutnya mengadakan rundingan sebelum aktiviti pembalakan dilakukan.

“Mereka datang bawa senjata. Arahan siapa itu, kita persoal. Dia datang dengan Jabatan Hutan dan pembalak atas arahan siapa? Kalau betul ada arahan mesti tunjuk surat arahan.

“Kita akan sediakan peguam kepada penduduk Orang Asli. Sekarang kita sedang kumpul maklumat dan kita serahkan kepada peguam untuk tindakan selanjutnya,” kata Presiden Peka, Shariffa Sabrina Syed Akil.

Polis nafi ugut Orang Asli, bawa senjata prosedur biasa

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik, Ismail Che Isa ketika dihubungi menafikan dakwaan Orang Asli diugut.

Katanya, polis hanya mengiringi Jabatan Perhutanan dan wakil syarikat untuk memasuki kawasan pembalakan supaya tidak dihalang oleh masyarakat setempat.

“Kata polis ugut tak betul. Sebenarnya pada 2 Mac Orang Asli ada membuat laporan polis mengatakan mereka tidak membenarkan pembalakan diteruskan kononnya kerana ia memasuki kawasan tanah mereka. Sebenarnya kawasan pembalakan itu telah dilesenkan oleh kerajaan negeri.

“Pada hari sama Jabatan Hutan juga ada membuat laporan meminta polis mengiringi masuk ke tempat itu. Jadi polis mengiringi untuk menjaga keselamatan pihak jabatan kerana bimbang akan berlaku sesuatu tidak diingini.

“Prosedur biasa bawa senapang. Kita bantu mereka (Jabatan Perhutanan) takut dikasari. Kami akan terus buat pemantauan,” katanya.