Putrajaya pertimbang wajib vaksin difteria, demam campak

Dzulkefly Ahmad berkata, sebuah pasukan petugas ditubuhkan Kementerian Kesihatan untuk mengkaji semua aspek dan dimensi bagi membolehkan 2 program vaksin itu dijadikan mandatori. (Gambar AFP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang mempertimbangkan langkah mewajibkan sekurang-kurangnya 2 daripada 12 pemvaksinan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) dalam masa terdekat.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, 2 program vaksin itu ialah vaksin difteria dan MMR untuk demam campak, beguk serta rubella.

“Saya dengar daripada sesetengah organisasi kesihatan termasuk Persatuan Pediatrik Malaysia yang kita patut pertimbangkan untuk mula menjadikan 2 vaksin ini wajib.

“Dengan 2 program vaksin ini, kita boleh menangani sekurang-kurangnya 6 atau 7 penyakit,” katanya selepas merasmikan Persidangan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2019 di sini.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pendidikan pada Selasa lalu yang tidak berhasrat mewajibkan suntikan vaksin sebagai syarat kepada murid bersekolah, sejajar dasar kementerian mahu memastikan semua kanak-kanak mendapat akses pendidikan.

Menterinya, Maszlee Malik dilaporkan berkata, vaksin dan hak mendapatkan pendidikan ialah isu berbeza.

Hari ini, Dzulkefly berkata, kementeriannya sudah menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk mengawasi perkara itu secara terperinci daripada semua aspek dan dimensi.

Katanya, bukan mudah membuat keputusan itu kerana akan wujud kerumitan dari segi undang-undang, tetapi kerajaan komited memastikan kesihatan kanak-kanak dan tiada kematian membabitkan penyakit itu berulang.