Umno-PAS takkan bergabung, kami takkan abai kaum lain, kata Tok Mat

Mohamad Hasan (2 dari kiri) bercakap kepada media di Ibu Pejabat Umno, hari ini, sambil ditemani Ismail Sabri Yaakob (kiri), Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa (3 dari kiri) dan pemimpin lain.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan memberi jaminan parti itu tidak akan bergabung dengan PAS, sebaliknya mereka hanya menjalin kerjasama rasmi demi penyatuan ummah.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, kerjasama Umno-PAS juga tidak akan menjejaskan kaum dan agama lain, serta tiada perkara yang mengikat kedua-dua parti untuk memberi tambah nilai terhadap ikatan kerjasama itu.

“Saya hendak terangkan di sini, agenda penyatuan ummah ini adalah untuk mencari kebaikan dan tidak meminggirkan sesiapa, terutamanya yang bukan Islam dan bukan Melayu.

“Ini merupakan strategi untuk kita bekerjasama bagi memudahkan kedua-dua parti beroperasi dan mengatur strategi demi hadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno, hari ini.

Kelmarin, Mohamad mengumumkan Umno menjalin kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya kecil, selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti serta senario politik tempatan.

“Kita tidak ada masa hendak lawan satu sama lain, kita ada musuh yang sama. Umno dan PAS adalah kawan, Pakatan Harapan adalah kerajaan yang kita tumpu ketika ini.

“Apa yang penting, kita tidak mahu masyarakat berpecah belah, kita mahu mengamalkan politik matang dan bekerjasama dengan baik,” katanya pada Selasa lalu.

Hari ini, Mohamad berkata, isu kerjasama Umno-PAS akan dibawa ke mesyuarat Barisan Nasional esok dan beliau tidak menolak kemungkinan MCA dan MIC akan merestui keputusan Umno.

“Kita akan bermesyuarat esok pagi…saya akan bentangkan supaya ia juga akan diterima di peringkat rakan-rakan BN dan kalau dapat diterima, boleh jadi esok bukan sahaja Umno-PAS, mungkin BN-PAS serta rakan-rakan lain.

“Saya sudah bincang dengan rakan-rakan dalam BN sejak tidak jadi kerajaan, setiap individu parti perlu berusaha memperkasakan parti masing-masing. Usaha Umno adalah untuk lakukan kerjasama strategik dengan PAS, ia tidak meminggirkan rakan-rakan lain.

“MIC juga beri pengakuan mereka tidak ada halangan terhadap kerjasama Umno-PAS. Saya rasa MCA juga tidak akan mempunyai apa-apa halangan.

“Saya tidak rasa mereka mahu tinggalkan BN, apa yang saya boleh rasakan MCA dan MIC tidak mahu meninggalkan BN, mereka sangat prihatin, bahkan mereka sayangkan BN lebih serta mahu BN ini terus terjaga.”

Sementara itu, Mohamad mengumumkan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen berdasarkan hierarki dalam parti, manakala seorang lagi Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid sebagai ketua whip.

“Parlimen Malaysia akan bersidang 11 Mac depan, Umno dan BN bersetuju kita melantik ketua pembangkang baru, Ismail Sabri disebabkan hierarkinya tertinggi dalam parti.

“Disebabkan itu jawatan dipegang Ismail sebagai ketua whip akan diserahkan kepada Mahdzir. Saya sudah beritahu bekas ketua pembangkang, Ahmad Zahid Hamidi, PAS, MIC, MCA dan parti dari Sarawak juga sudah kita beritahu.”