Rumah Solehah beri harapan kepada wanita penghidap HIV/AIDS

Di Rumah Solehah, wanita digalakkan untuk mengenal pasti minat dan keupayaan mereka dan mengembangkan potensi supaya mereka dapat meneruskan kehidupan.

PETALING JAYA: Menjadi mangsa jangkitan HIV/AIDS sudah cukup teruk bagi mana-mana wanita, apatah lagi mereka dibuang keluarga, seolah-olah dunia ini sudah berakhir.

Disisih oleh masyarakat sendiri adalah sangat tragis untuk kebanyakan wanita yang menjadi mangsa akibat dijangkiti oleh suami yang mengamalkan seks berbilang pasangan.

Tetapi terdapat seorang wanita yang penuh belas kasihan, Fadzilah Abdul Hamid, yang lebih dikenali sebagai Matron Fadzilah, yang menawarkan rumah perlindungan sementara untuk wanita dan kanak-kanak yang dibuang keluarga.

Lebih 20 tahun lalu, beliau dan rakan pegawai kanan di Kementerian Kesihatan menubuhkan rumah penjagaan di bawah Persatuan Perubatan Islam Malaysia.

Lewat 90-an menyaksikan peningkatan bilangan wanita dan kanak-kanak yang dijangkiti HIV, membuatkan kemudahan sedemikian sangat diperlukan.

Sejak ia ditubuhkan, Rumah Solehah membantu hampir 400 mangsa, 50 daripada mereka adalah kanak-kanak seawal seusia 20 hari.

Matron Fadzilah menawarkan perlindungan sementara dan penjagaan kepada penghidap HIV/AIDS wanita yang dibuang keluarga.

Rumah perlindungan Matron Fadzilah menjadi rujukan dari seluruh Malaysia.

Jururawat veteran itu berkata semua wanita yang mempunyai HIV/AIDS berdepan stigma daripada keluarga dan komuniti mereka sendiri, terutamanya wanita Islam.

“Mereka datang kepada kami kerana mereka disisih. Apabila mereka datang, harga diri mereka hancur. Kami membina semula keyakinan mereka, dan kemudian merawat masalah fizikal mereka seperti masalah kulit.”

Beliau menjalankan program rawatan dan kaunseling, yang disatukan dengan ajaran dan nilai Islam, di mana ia boleh bertahan dari 3 bulan hingga 2 tahun bergantung kepada individu.

Program itu termasuk bekerjasama dengan wanita terbabit untuk mengenal pasti minat dan keupayaan mereka dan mengembangkan potensi supaya mereka dapat meneruskan kehidupan apabila mereka kembali ke komuniti mereka.

Beliau juga mengajar mereka asas kesihatan, seperti bagaimana untuk tetap bersih untuk mengelak jangkitan virus.

Sejak 5 tahun lalu, terdapat penurunan jumlah wanita yang tinggal di rumah itu, katanya. Majoriti mereka yang datang untuk mendapatkan bantuan kini tinggal di rumah sendiri.

Beliau menyifatkan ia sebagai peningkatan dalam kesedaran orang ramai, mengatakan kebanyakan mereka kini boleh tinggal bersama keluarga sendiri yang lebih menerima mereka.

Rumah Solehah bertahan dengan pembiayaan dari kerajaan dan sektor korporat.

Tetapi sebahagian yang lain dengan keluarga yang tidak mengambil tahu bagaimana virus itu tersebar tidak, menganggapnya sebagai tidak bernasib baik.

“Ramai keluarga masih takut HIV, walaupun ia sama seperti jangkitan lain. Ia tidak boleh tersebar dengan mudah.”

Sejak 6 tahun lalu, rumah itu menerima pembiayaan dari Majlis Agama Islam Selangor, yang juga membiayai beberapa rumah perlindungan HIV/AIDS yang lain.

Beliau percaya ini adalah isyarat bahawa masyarakat Islam semakin terbuka.

“Al-Quran mengajar kita bahawa Allah Maha Pengampun, terutama bagi mereka yang telah bertaubat,” kata Matron Fadzilah.

Menguruskan rumah tersebut tidak mudah, kerana kakitangan dan dana biasanya kurang.

Matron Fadzilah berkata, sukar untuk mencari kakitangan baru, yang berdedikasi untuk menjalani tugas berat yang terlibat dalam menjaga dan memberi nasihat kepada pesakit AIDS. Ramai juga bimbang virus itu menjangkiti mereka.

“Kami tidak dapat mengekalkan kakitangan, terutama yang muda. Mereka tidak berminat untuk tinggal bersama kami kerana mereka mempunyai kehidupan sendiri di luar,” katanya.

Kini, rumah itu hampir ketiadaan kakitangan sepenuh masa, tetapi hanya sukarelawan biasa. Mereka juga melatih bekas pesakit untuk kembali dan bekerja di rumah itu.

Kebelakangan ini, walaupun orang ramai lebih memahami penyakit ini, lebih ramai mangsa sebenarnya menghidap HIV.

Matron Fadzilah bimbang kini kebanyakan kes HIV adalah disebabkan oleh aktiviti seks rambang dan secara tidak sihat.

Beliau berkata ramai orang menyedari akibat daripada seks tanpa perlindungan, tetapi mengamalkannya juga.

“Ini masalah bagi negara,” katanya.

Untunglah Rumah Solehah ada untuk membantu apa yang termampu.