Saya akan kekal dalam Umno, kata Tengku Razaleigh

Tengku Razaleigh berkata, kerjasama Umno-PAS adalah baik untuk perpaduan orang Melayu, tetapi mestilah dibuat dengan ikhlas.

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi hari ini bahawa beliau akan kekal dalam Umno dan tidak akan menyertai mana-mana parti lain.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, ini adalah jaminan kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil mereka dalam setiap pilihan raya umum sejak 1974.

Katanya, beliau tidak harus disamakan dengan pemimpin Umno yang keluar parti dan menyertai parti kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lalu tanpa mengambil kira pengorbanan pengundi yang memilih mereka.

“Saya hormati keputusan rakyat yang memilih saya dalam pilihan raya umum ke-14 dan tidak akan mengorbankan prinsip itu kerana kepentingan diri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan dengan peneroka skim pembangunan tanah Kesedar di Lebir, di sini, kata laporan itu lagi.

Beliau juga berkata, kerjasama antara Umno dan PAS adalah baik untuk perpaduan orang Melayu.

Bagaimanapun katanya, kerjasama tersebut mestilah ikhlas.