Dr M: Kerajaan benar subjek matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, ramai berpendapat bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang lebih mudah diterima di pasaran.

MANILA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mengambil pendekatan membenarkan pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah, namun pada masa sama pengajaran subjek itu dalam Bahasa Kebangsaan tetap diteruskan.

Katanya, pendekatan jalan tengah itu diambil kerana ada rakyat Malaysia menyokong penggunaan bahasa Inggeris bagi penagajaran mata pelajaran itu manakala ada pula menentangnya.

“Tetapi kita akan kaji supaya kita samakan bagi semua sekolah kita kerana tentu akan menganiayakan sesuatu kumpulan kerana mereka akan dapat keuntungan daripada satu bahasa dan (tetapi) mereka tidak diberi hak untuk belajar daripada bahasa itu.

“Khususnya, ramai yang berpendapat bahasa Inggeris akan menjadikan seseorang yang lulus lebih mudah diterima di pasaran,” katanya kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke Filipina hari ini.

Turut hadir dalam sidang akhbar berkenaan ialah Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Mengenai lawatannya ke Filipina, Dr Mahathir berkata, beliau berpeluang mengadakan pertemuan 4 mata dengan rakan sejawatannya Presiden Rodrigo Duterte dan membincangkan pelbagai isu mengenai kepentingan bersama Malaysia dan Filipina.

“Hampir kesemua isu (dibincangkan dengan Presiden Duterte) tidak ada yang tidak dipersetujui. Persepsi mungkin berlainan, tetapi persoalan tuntutan ke atas Sabah (oleh Filipina) bukan subjek perbincangan yang begitu menekan,” katanya.