Impian beregu Malaysia ke final badminton All England musnah

KUALA LUMPUR: Impian beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk mara ke pentas final kejohanan badminton All England 2019 tidak kesampaian apabila tewas pada separuh akhir di Arena Birmingham, hari ini.

Selepas mengejutkan pilihan k-2, Wang Yilyu-Huang Dongpin dari China pada suku akhir semalam, pasangan negara itu tidak dapat mengekalkan momentum apabila tunduk kepada juara bertahan dan pasangan nombor 3 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Pasangan Jepun itu hanya memerlukan masa 37 minit untuk mencipta kemenangan mudah 21-16, 21-13 ke atas Soon Huat-Shevon Lai untuk melangkah ke final.

Tewas di set pertama, pasangan negara yang kini menduduki ranking ke-14 dunia cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sekali gus mencuri peluang mara ke final All England.

Bagaimanapun, kesilapan demi kesilapan selepas mendahului selesa 9-5 pada set kedua, menyebabkan pasangan Jepun itu mudah mengutip mata untuk mengesahkan tempat di final.

Harapan negara kini tertumpu kepada gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam perlawanan separuh akhir yang dijangka berlangsung awal pagi ini.

Pasangan negara yang digelar “pembunuh gergasi” melakar kejutan apabila menyingkirkan pasangan China, Liu Cheng-Zhang Nan 21-19, 17-21, 21-12 dalam aksi suku akhir semalam.