Johor catat 2,222 kes denggi suku pertama 2019

JOHOR BAHRU: Sebanyak 2,222 kes denggi direkodkan di negeri ini sejak Januari hingga 2 Mac tahun ini, dengan Johor Bahru mencatat jumlah tertinggi.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata tempoh berkenaan turut menyaksikan 6 kematian dicatat akibat demam denggi berbanding 3 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.

“Berlaku peningkatan kes denggi sebanyak 99.6% manakala peratus kematian meningkat 100%,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes 1.0 di Taman Kota Masai, Pasir Gudang hari ini.

Sahruddin berkata faktor utama berlakunya peningkatan kes denggi disebabkan kurangnya menjaga aspek kebersihan.

Sehubungan itu, beliau berkata masyarakat perlu peka dan cakna terhadap kebersihan serta tidak hanya bergantung semata-mata kepada agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dr Sahruddin Jamal

“Untuk memerangi denggi sebenarnya senang sahaja, musnahkan nyamuk aedes dengan menjaga kebersihan,” katanya.

Pahang catat 1 kematian

Sementara itu, Pahang mencatatkan 248 kes demam denggi dengan satu kematian dalam tempoh Januari hingga 2 Mac lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata apa yang menyedihkan tiada kematian dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Justeru, katanya bagi memastikan masyarakat sentiasa memberi perhatian terhadap kebersihan pihaknya kini memberi tumpuan terhadap aktiviti penguatkuasaan sebagai langkah pencegahan yang paling berkesan.

“Setakat ini, kita telah membuat pemeriksaan terhadap 82, 982 premis seperti rumah, kedai dan kilang dengan 221 premis dikenakan kompaun bernilai RM110,500 manakala sembilan kes dibawa ke mahkamah.

“Kerjasama masyarakat untuk menjaga kebersihan amat penting dalam usaha mengawal penularan kes denggi di negeri ini, ” katanya pada Program Gotong-Royong Perangi Aedes dan Hari Bersama Sukarelawan Combi Peringkat negeri di Taman Peramu Jaya 1 hari ini.

Pada program itu, lebih 500 penduduk setempat terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pihak swasta serta pelajar sekolah menyertai aktiviti membersih persekitaran taman perumahan itu.

Sapian juga menasihatkan orang ramai untuk tidak hanya bergantung kepada pekerja syarikat pembersihan dalam menyelia persekitaran tempat tinggal mereka.

Beliau menasihati orang ramai supaya meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman masing-masing.

Meningkat 628.6% di Terengganu

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Terengganu merekodkan sebanyak 204 kes demam denggi dari 1 Januari hingga 2 Mac tahun ini, peningkatan sebanyak 628.6% berbanding 28 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh berkata daerah Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114 kes diikuti Kuala Nerus (27 kes), Dungun (21 kes), Marang (19 kes), Besut (12 kes), Kemaman (5 kes) dan masing-masing 3 kes di Hulu Terengganu dan Setiu.

“Sehingga 2 Mac lalu, terdapat 7 episod wabak berlaku di Terengganu iaitu 3 episod di Kuala Terengganu, masing-masing 2 episod di Kuala Nerus dan Marang. Daerah-daerah lain masih mengekalkan sifar wabak denggi. Semua episod wabak ini telah pun tamat dan merupakan wabak terkawal.

“Sebanyak 63 aktiviti gotong-royong telah dijalankan di seluruh negeri dalam usaha mencegah demam denggi dan hari ini kita adakan gotong royong perdana di Dungun,” katanya dalam kenyataan.

Sebanyak 32,582 premis diperiksa setakat ini dan daripada jumlah itu, 514 premis didapati positif pembiakan Aedes. Sebanyak 240 premis pula dikenakan kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit.

“Kita juga telah membuat semburan kabus di 35,161 premis serta proses larvisiding di 25,781 premis setakat ini,” katanya.