NUTP gesa gubal undang-undang terhadap ibu bapa antivaksin

Undang-undang perlu menunjukkan kasihan belas terhadap penjaga yang tidak berpelajaran atau tidak mempunyai akses kepada pemvaksinan.

PETALING JAYA: Kesatuan guru menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang akan mempertanggungjawabkan ibu bapa sekiranya mereka gagal memvaksin anak-anak mereka, sewaktu debat mengenai pemvaksinan wajib berterusan.

“Mahkamah perlu mengambil tindakan terhadap penjaga yang tidak memvaksin anak-anak mereka kerana ia terbukti menyumbang kepada penularan penyakit,” kata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

Bagaimanapun, setiausaha agung NUTP, Harry Tan berkata, beliau bersetuju dengan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bahawa undang-undang perlu menunjukkan kasihan belas terhadap mereka yang tidak berpelajaran atau tidak mempunyai akses kepada pemvaksinan.

“Tiada sesiapa yang harus diabaikan. Semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan,” katanya kepada FMT.

Setiausaha agung NUTP, Harry Tan.

Maszlee cuba membezakan antara imunisasi dengan hak pendidikan dengan berkata, ia merupakan isu yang berbeza.

Katanya, kerajaan mengutamakan pendidikan untuk kanak-kanak dan tidak akan menghalang mana-mana orang daripada hadir ke sekolah.

Beberapa penjaga yang dihubungi FMT bersetuju tentang keperluan pemvaksinan.

Penganalisis rangkaian dan solusi Anisha, 32, berkata, sekiranya kanak-kanak tidak divaksin, penyakit yang sebelum ini telah dihapuskan akan kembali menular.

Sementara itu, eksekutif operasi, Izzati, 34, berkata, pendidikan dan kesihatan adalah 2 perkara yang sama penting dan berjalan seiringan.

Beliau berkata, kegagalan divaksin boleh menyebabkan penularan penyakit di sekolah.

“Ini boleh dihalang jika kanak-kanak diwajibkan divaksin sebelum memasuki sekolah rendah.”

Jurutera Heikal Saini, 34, juga menyokong pemvaksinan walaupun beliau mengakui ibu bapa berhak untuk tidak menyetujuinya.

Pengurus projek Ekaterina Edhma, 35 berkata, beliau menyokong penuh pemvaksinan.

“Bukti yang menyokong pemvaksinan kanak-kanak jauh mengatasi kemungkinan ia boleh membawa masalah.

“Saya tidak mahu anak saya yang dikandung selama 9 bulan berdepan risiko kematian pada usia 3 tahun,” katanya.