Pembantu Guan Eng nafi laporan ‘berita palsu’

Menteri Kewangan Lim Guan Eng tidak pernah membuat kenyataan menghina Islam dan orang Melayu.

PETALING JAYA: Pembantu menteri kewangan hari ini menafikan laporan yang seolah-olah “menunjukkan” Lim Guan Eng mempersoalkan Islam dan bersikap kritikal terhadap orang Melayu, dengan berkata Lim tidak pernah membuat kenyataan itu.

Setiausaha akhbar beliau, Lutfi Hakim berkata, laporan berita itu, yang dibuat seolah-olah ia disiarkan oleh laman web berita seperti Malaysiakini dan Astro Awani, malah termasuk Roketkini, adalah palsu dan bertujuan memfitnah setiausaha agung DAP itu.

“Ia adalah laporan palsu yang bertujuan membangkitkan kemarahan dan merangsang sentimen perkauman, selain menanam kebencian terhadap menteri kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Lutfi merujuk kepada laporan bertajuk “Agong tiada hak tolak nama Peguam Negara PH” yang kononnya disiarkan oleh Astro Awani dan “Melayu jangan terlalu mengemis dengan kerajaan”, oleh Malaysiakini.

“Laporan berita” lain termasuklah yang mendakwa Lim mempersoalkan undang-undang Islam, selain memetik satu kajian yang memberi gambaran negatif terhadap masyarakat Melayu.

Lutfi berkata, satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Khamis selepas “laporan berita” berkenaan tular di aplikasi WhatsApp.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya memeriksa maklumat di media sosial berpandukan saluran media berwibawa atau menghubungi kementerian.

“Menyebarkan pesanan palsu adalah satu kesalahan di bawah banyak undang-undang, termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.