Sentimen positif dijangka sokong pasaran getah minggu depan

Langkah Thailand, Indonesia dan Malaysia melaksanakan AETS bagi tempoh 4 bulan akan mengurangkan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metrik. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan disokong oleh sokongan belian dan sentimen positif, kata seorang peniaga.

Ini susulan pengumuman pelaksanaan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) yang akan bermula dari 1 April sehingga 31 Julai 2019.

Menurut Kementerian Industri Utama, harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR 20) FOB meningkat 12.7% kepada 587.0 sen sekilogram pada 7 Mac, 2019, daripada 521.0 sen sekilogram pada 31 Dis, 2018.

“Para pelabur kini mempunyai hala tuju yang jelas apabila Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) memutuskan untuk mengehadkan jumlah eksport kepada 357,535 tan metrik pengurangan sebanyak 15,600 tan metrik,” kata peniaga itu.

Langkah Thailand, Indonesia dan Malaysia yang bersetuju untuk melaksanakan AETS bagi tempoh 4 bulan itu akan mengurangkan keseluruhan eksport getah asli sebanyak 240,000 tan metrik.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, pasaran diniagakan bercampur-campur, kebanyakannya sejajar dengan pasaran niaga hadapan getah serantau, prestasi ringgit berbanding dolar AS, turun naik harga minyak dan mesyuarat ITRC.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun 11.5 sen kepada 587.50 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 22 sen kepada 460.50 sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi 5 petang SMR 20 susut 15 sen kepada 585.50 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 10.5 sen kepada 461.00 sen sekilogram.