PKR umum calon Rantau esok atau lusa

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, dalam masa sehari dua lagi.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata majlis pimpinan negeri menyerahkan 6 nama untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan pusat, tanpa terikat sama ada kaum Melayu atau India.

“Proses kita, dengar pandangan cabang dan dengar pandangan negeri, kemudian kita bawa ke biro politik dan bincangkan untuk dapatkan input.

“Kita sudah kemuka perbincangan kepada majlis presiden Pakatan Harapan semalam, jadi mungkin esok atau lusa saya akan umumkan,” katanya selepas merasmikan pejabat PKR Rembau hari ini.

Turut hadir Pengerusi PKR Negeri, Aminuddin Harun dan Ketua PKR Rembau, R Tanggam.

Terdahulu Anwar mengadakan pertemuan dengan MPN dan Ahli Jawatankuasa PKR Rembau di kediaman rasmi menteri besar selama 3 jam hari ini.

Anwar berkata pada sesi pengumuman calon itu nanti, beliau akan memberikan penjelasan berhubung rasional pemilihan calon tersebut.

Mengulas sama ada Dr S Streram akan dikekalkan sebagai calon di DUN Rantau, beliau berkata kemungkinannya ada.

“Kemungkinan semua ada, tetapi bila kita buat keputusan tentulah kita bagi pertimbangan juga, kita tidak nafikan hak sesiapa tentang apa dia buat, peranan dia termasuk turun naik mahkamah dan sebagainya, tetapi keputusan itu setelah kita bincang semua dan saya percaya parti bagi pengakuan siapa pun (calon) akan bekerja secara ‘compact’ sebagai satu pasukan yang padu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK DUN Rantau akan berlangsung pada 13 April ini dengan hari penamaan calon PRK itu pula ditetapkan pada 30 Mac, manakala hari mengundi awal ditetapkan pada 9 April.