Badan pemikir pertahan kaedah kajian diskriminasi kaum

Kajian Cent-GPS mendapati pencari kerja Melayu dan India berkemungkinan menghadapi diskriminasi berbanding pemohon Cina. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir dalam kajiannya ke atas pencari kerja baru-baru ini menafikan ia sengaja mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Penyelidik kanan Pusat Pentadbiran dan Pengajian Politik (Cent-GPS), Zaidel Baharuddin berkata, hasil kajian yang dikeluarkan minggu lalu bertujuan menekankan keperluan menjauhi naratif duopoli 2 kumpulan kaum terbesar di negara ini.

“Ada masalah dan kebimbangan kumpulan minoriti yang perlu dimasukkan dalam perbincangan nasional seperti ini,” katanya kepada FMT.

Kajian itu mendapati pencari kerja berbangsa Melayu dan India berkemungkinan menghadapi diskriminasi berbanding orang Cina.

Kumpulan penyelidik itu menyamar sebagai pemohon 3 kaum terbesar yang mempunyai kelulusan sama.

Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai, Joshua Woo bagaimanapun berkata, kajian itu tidak menyenaraikan profil etnik syarikat berkaitan.

Walaupun Cent-GPS menyatakan tindakan itu bertujuan memastikan syarikat dipilih secara rawak, Woo mendakwa profil etnik syarikat boleh memberi petunjuk sama ada sektor swasta mengamalkan diskriminasi kaum atau ada faktor lain yang memainkan peranan.

Katanya, menangani prejudis etnik tidak sepatutnya dihadkan kepada kaum.

“Diagnosis tidak lengkap tidak menyelesaikan masalah, tetapi sering menimbulkan kesan yang mungkin menjadikan masalah itu lebih teruk.”

Zaidel berkata, stereotaip sosial mungkin menjadi faktor wujud jurang antara pemohon untuk panggilan temu duga.

“Bagaimanapun, jika kita menyalahkan stereotaip, Thivakar, calon lelaki India, tetap menjadi mangsa ketaksaksamaan mengenai amalan ini.

“Kami tidak fikir stereotaip perkauman boleh menjadi alasan untuk mewajarkan keadaan tidak menguntungkan yang mungkin dihadapi calon lelaki India dalam pasaran kerja.

“Stereotaip perkauman mungkin ialah bahan baik untuk jenaka atau rutin komedi, tetapi kita tidak fikir ia harus dijadikan faktor dalam menentukan kesejahteraan masa depan anak muda Malaysia.”

Katanya, badan pemikir itu bukannya cuba mengaitkan profil etnik sebuah syarikat dengan tawaran kerja tertentu.

“Kami lebih berminat mengetahui jika nama, bangsa dan wajah seseorang memainkan peranan besar dalam menentukan peluang mereka dipanggil untuk temu duga berhubung pasaran secara umum.”

Dalam kajian itu, katanya, badan pemikir itu menggunakan sebuah portal kerja dalam talian untuk menghantar permohonan.

Oleh itu, pemilihan kerja dibuat berdasarkan cadangan algoritma laman web itu mengikut profil dalam talian calon, kekosongan kerja yang sepadan kelayakan akademik mereka dan kerja yang boleh dipohon ketujuh-tujuh calon.

“Kami tidak sengaja mencari syarikat yang dikuasai etnik tertentu untuk membuat kesimpulan.

“Kami juga percaya kebanyakan pencari kerja akan mencari kerja yang sesuai dengan mereka, bukannya syarikat yang dimiliki individu yang sama bangsa dengan mereka.”

Cent-GPS sebelum ini dilaporkan berkata, sebanyak 3,829 permohonan kerja dihantar untuk mengisi 500 kekosongan kerja dalam beberapa bulan lalu dengan 7 resume hampir sama diserahkan, tetapi mereka terdiri daripada 3 orang Melayu, 2 Cina dan 2 India.

Katanya, kajian itu memastikan semua 7 resume mempunyai kelayakan, pengalaman, keupayaan berbahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin yang sama, cuma berbeza dari segi kepercayaan agama.

“Daripada 7 calon itu, 2 calon Cina menerima panggilan paling banyak, masing-masing 240 dan 179 panggilan.

“Dua calon Melayu menerima 70 dan 50 panggilan masing-masing, manakala calon India mendapat 49 panggilan. Dua lagi calon, masing-masing seorang Melayu dan India, hanya mendapat 43 dan 20 panggilan.”