Didik, bukan hukum mereka yang hina Islam dan nabi, kata 11 NGO

Mohamad Yazid Kong Abdullah (2 dari kiri) dijatuhi hukuman penjara 7 bulan dan denda RM10,000 kerana menghina Islam dan nabi di Kuala Lumpur

PETALING JAYA: 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menggesa kerajaan supaya menyemak semula hukuman yang dikenakan ke atas individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad di media sosial, sebaliknya mencadangkan langkah pemulihan.

“Kuantum hukuman adalah tidak berpadanan apabila dibandingkan dengan fakta bahawa perogol dan pelaku keganasan domestik kerap menerima hukuman lebih ringan. Sesetengahnya langsung tidak dijatuhi hukuman penjara,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu berkata, hukuman penjara yang tidak berpadanan dan tidak adil berkemungkinan menimbulkan perasaan marah dan tidak banyak mengubah tingkah laku seseorang.

Ia memberi satu contoh di Lebanon, di mana 3 remaja diperintahkan mempelajari ayat al-Quran mengenai Nabi Isa selepas mereka didapati salah menghina agama Kristian.

NGO berkenaan berkata, kerajaan sebaliknya perlu mengambil langkah menggalakkan lebih banyak integrasi kaum, menghormati agama dan keharmonian kepelbagaian budaya.

11 pertubuhan tersebut termasuklah Sisters in Islam, Centre for Independent Journalism, Knowledge and Rights with Young People Through Safer Spaces, Aliran, Suara Rakyat Malaysia, Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Malaysia Muda, Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia, Agora Society, Teoh Beng Hock Trust for Democracy dan Pusat Komas.

Minggu lepas, seorang pengguna Facebook di Sarawak dijatuhi huuman penjara 10 tahun 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuching selepas beliau mengaku salah terhadap 10 pertuduhan menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Hari ini, seorang lagi pengguna Facebook dipenjarakan selama 7 bulan dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana kesalahan yang sama.