Menteri Yeo Bee Yin berkahwin dengan CEO IOI Properties

Yeo Bee Yin (3 dari kanan) bersama suami beliau, Lee Yeow Seng (berkot biru). (Gambar Twitter)

PUTRAJAYA: Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Yeo Bee Yin melangsungkan perkahwinan dengan ketua pegawai eksekutif IOI Properties Group Bhd, Lee Yeow Seng dalam satu majlis di sini, hari ini.

Upacara pendaftaran perkahwinan mereka diadakan di sebuah hotel di sini, yang merupakan sebahagian daripada IOI Properties, pada tengah hari dengan dihadiri oleh saudara-mara terdekat, termasuk ibu bapa masing-masing.

Sumber yang rapat mengesahkan mengenai ikatan perkahwinan pasangan itu.

Berita mengenai hubungan Yeo, 36, dengan Lee, 40, anak bongsu kepada jutawan Lee Shin Cheng, mula diketahui pada Disember tahun lepas selepas seorang kawannya memuat naik fotonya, bergambar dengan pasangan itu.

Majlis makan malam sempena perkahwinan mereka akan diadakan di Le Meridien Putrajaya pada 29 Mac.