Pentadbiran PAS di Terengganu ‘comel lote’, kata pemimpin bukan Islam PAS

Jefri Chua (kanan) ketika bertemu Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Beliau percaya sokongan orang bukan Melayu di Terengganu terhadap PAS semakin meningkat.

KUALA LUMPUR: Sesetengah pihak mungkin berpandangan tiada seorang pun orang bukan Melayu Islam akan menyokong pentadbiran PAS, namun perkara itu disangkal penduduk berketurunan Cina di Terengganu.

Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kuala Terengganu, Jefri Chua, berkata, sejak memenangi pilihan raya umum ke-14 dan membentuk kerajaan negeri, sokongan orang bukan Melayu di Terengganu terhadap PAS semakin meningkat.

“PAS tak tengok kamu sokong parti mana sebab PAS untuk semua. Pentadbiran kerajaan PAS di Terengganu ketika ini memang ‘comel lote’.

“Ada yang kata kalau PAS memerintah di Terengganu, habislah orang Cina dan orang bukan Melayu. Tetapi selepas hampir setahun mentadbir, mereka kekalkan semua benda milik orang bukan Melayu, kita sekadar perlu ikut undang-undang, itu sahaja.

“Kalau betul PAS jahat, kalau betul Hadi seorang yang rasis, kedai-kedai Cina sudah lama ditutup. Tetapi itu tidak berlaku sebab Islam tidak ajar mereka berbuat begitu. Jadi kenapa nak takut dengan PAS,” katanya kepada FMT.

Jefri, 61, yang juga pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tiong, berasa hairan mengapa ada pihak yang sering memburuk-burukkan PAS.

Jefri Chua (berdiri paling kanan) beramah mesra dengan warga emas dan kaum wanita di Pasar Pagi Kampung Tiong, Kuala Terengganu.

“Mereka main isu RM90 juta, main isu rasis, semua ini adalah untuk buatkan orang benci kepada PAS.

“Sebaliknya, orang Cina di sini ada yang gembira apabila Pakatan Harapan kalah di pilihan raya kecil. Mereka merasakan kerajaan PH begitu angkuh ketika ini,” katanya.

Beliau berkata parti Islam itu diburuk-burukkan dengan begitu agresif sejak keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2015.

“Ada yang kata orang Cina tak boleh terima hudud dan RUU355. Ada yang kata nanti orang Cina dipaksa masuk Islam satu hari nanti, satu hari itu bila? Setahun, 10 tahun, 1,000 tahun? Ini semua mainan politik sahaja,” katanya merujuk Rang Undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Pernah satu ketika, Jefri bimbang dengan keputusan beberapa pemimpin PAS ketika itu iaitu Mohamad Sabu dan Khalid Samad yang bertindak keluar daripada parti untuk membentuk Amanah dan bergabung dengan PH.

“Masa PAS keluar daripada PR saya masih setia, tetapi apabila beberapa pemimpin PAS keluar parti saya jadi runsing.

“Tapi saya tengok balik apa yang PAS sudah lakukan di Terengganu dan layanannya kepada masyarakat bukan Melayu, langsung tidak bangkitkan unsur perkauman. Itu yang buatkan saya istiqamah bersama PAS,” katanya.

Selaku generasi ke-4 keluarga Cina yang menetap di Kampung Tiong, Jefri merasakan PAS menggunakan pendekatan terbaik ketika ini.

“PAS banyak tolong golongan fakir miskin, tidak bermusuhan dengan parti lain ataupun memburukkan orang lain,” katanya.