Thailand dakwa ‘rangkaian jahat’ dalang pengeboman Satun, Phatthalung

Sekurang-kurangnya 10 letupan dilaporkan di wilayah bergolak di Phatthalung dan Satun dalam tempoh antara kelmarin dan pagi semalam. (Gambar AFP)

BANGKOK: Pihak keselamatan Thailand percaya “rangkaian jahat yang cuba memusnahkan keyakinan kerajaan” menjadi dalang di sebalik siri pengeboman di wilayah Satun dan Phatthalung pada Sabtu dan Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga menteri pertahanan, Jen Prawit Wongsuwan dalam satu kenyataan berkata beliau mengarahkan pihak berkuasa supaya meningkatkan langkah keselamatan di Selatan Thailand susulan insiden pengeboman itu.

“Dalang di sebalik pengeboman ini dipercayai dari rangkaian kumpulan yang hilang pedoman dan cuba memusnahkan keyakinan kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu Prawit mengarahkan pihak berkuasa memburu mereka yang bertanggungjawab dalam siri letupan itu.

“Dia turut mengarahkan agensi keselamatan dan risikan di Selatan Thailand memantau pergerakan kumpulan sasar sama ada mereka terlibat dengan kejadian pengeboman di Satun dan Phattalung,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu pihak keselamatan turut menggesa orang ramai memberikan kerjasama dan sentiasa berwaspada sekiranya mengesan orang asing atau objek yang mencurigakan di kawasan mereka, agar dapat mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sekurang-kurangnya 10 letupan dilaporkan di wilayah bergolak di Phatthalung dan Satun di selatan Thailand dalam tempoh antara kelmarin dan pagi semalam.

Tiada kematian dilaporkan, namun siri pengeboman itu mengakibatkan kerosakan kepada beberapa bangunan dan kenderaan.