Fenomena tekoma ‘Sakura’ ceriakan pemandangan Kedah, Melaka

Fenomena bunga tekoma atau dipanggil ‘Sakura’, kembali mengubah landskap pemandangan di beberapa kawasan di Kedah dan Melaka sekali gus membuatkan suasana seolah-olah seperti pada musim bunga sakura di negara Jepun.

Pokok tekoma yang sering dijadikan tanaman landskap terutama di tepi jalan raya, kini mula mengeluarkan bunga mekar berwarna merah jambu dan putih seawal bulan ini disebabkan cuaca panas dan keamatan cahaya.

Pengarah Pertanian Kedah Eliyas Saad berkata apabila menerima keamatan cahaya dalam tempoh yang panjang ia mempengaruhi kadar proses fotosintesis pokok neotropikal itu untuk menghasilkan tenaga sekali gus menyebabkan ia mengeluarkan bunga yang banyak.

“Cahaya panjang memerlukan masa antara lebih kurang 8 jam. Macam bulan Mac ini, cuaca panas, cahaya matahari kuat dan tempoh panas itu panjang, jadi pokok ini akan berbunga banyak seperti sekarang.

“Cahaya ini penting untuk buat proses fotosintesis, lagi panjang tempoh cahaya, lagi panjang proses fotosintesis, maka lagi banyak pokok itu dapat tenaga, lagi banyak bunga tekoma ini keluar,” katanya ketika menurut laporan Bernama hari ini.

Eliyas berkata, walaupun sering berlaku pada bulan Mac setiap tahun, namun ia bukan faktor fenomena itu kerana ia boleh berlaku pada bulan lain sekiranya tumbuhan tersebut menerima keamatan cahaya dalam tempoh yang panjang.

“Kalau bulan Disember cuaca panas panjang, pokok ini akan turut berbunga juga, tiada kaitan dengan bulan Mac atau bulan lain,” katanya.

Beliau berkata, fenomena itu juga biasanya tidak berlarutan dan akan berakhir dalam tempoh dua hingga tiga minggu kemudian, malah mungkin lebih cepat jika cuaca hujan menyebabkan bunga itu luruh.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di sekitar jalan utama menceriakan dengan pohon itu yang berbunga lebat antaranya di Jalan Langgar, Jalan Kuala Kedah dan beberapa bahagian di Lebuhraya Utara-Selatan.

Malah pekan Alor Gajah, Melaka turut bertukar wajah ibarat seperti berada di Korea Selatan.

Faktor cuaca dikatakan telah memainkan peranan penting kepada perubahan warna pohon-pohon berkenaan.

Benar, cuaca sekarang yang agak panas telah memberi kesan kepada tumbuhan itu secara tidak langsung.

Suhu bahang yang kita rasai sekarang ada hikmahnya kerana sekurang-kurangnya memberi kita peluang seperti berada dalam musim bunga seperti di Scotland, Jepun ataupun di Korea Selatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]