Isteri, 2 anak mengaku tak bersalah bunuh CEO Cradle Fund

Samirah Muzaffar (berselendang) dibawa keluar dari lokap Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pada 4 Mac lalu.

SHAH ALAM: Balu bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan membunuh suaminya tahun lalu.

Samirah Muzaffar – anak kepada aktivis sosial terkenal, Chandra Muzaffar – bersama 2 anaknya berusia 13 dan 16 tahun, didakwa membunuh Nazrin di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bertiga mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman.

“Saya tidak melakukannya,” kata Samirah yang diwakili peguam terkenal, Muhammad Shafee Abdullah.

Mahkamah turut menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zain Ibrahim memaklumkan mahkamah 75 orang disoal siasat polis sepanjang siasatan ke atas kematian Nazrin.

Tetapi, katanya, beliau tidak dapat mengesahkan berapa ramai daripada mereka yang akan dipanggil sebagai saksi.

“Kami meminta mahkamah memberi kami 2 bulan dan satu lagi tarikh sebutan kes.”

Nazrin, 45, ditemui mati pada 14 Jun 2018 dalam kebakaran di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor.

Kematiannya pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, sebelum polis mengklasifikasikannya semula sebagai kes bunuh selepas siasatan menemui kesan petrol di tempat kejadian dan juga pelbagai kecederaan di kepalanya.