Kanada tak gantung operasi Boeing 737 Max selepas nahas Ethiopian Airlines

Syarikat penerbangan di Ethiopia, China, Indonesia dan negara lain sudah menggantung operasi Boeing 737 Max 8 kerana kebimbangan dari segi keselamatan. (Gambar Reuters)

OTTAWA: Menteri Pengangkutan Kanada, Marc Garneau berkata, masih terlalu awal untuk mendaratkan semua 41 pesawat Boeing 737 Max 8 yang dimiliki syarikat penerbangan negara itu, selepas nahas pesawat Ethiopian Airlines terhempas Ahad lalu, lapor agensi berita China Xinhua.

Kenyataan itu susulan tragedi menimpa pesawat milik Ethiopian Airlines yang mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal, termasuk 18 rakyat Kanada.

Nahas di Ethiopia itu adalah yang ke-2 membabitkan model Boeing 737 Max 8 dalam tempoh kurang 6 bulan.

Sebuah pesawat model sama milik syarikat penerbangan Lion Air terhempas di Indonesia Oktober lepas, meragut 189 nyawa.

Kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Juruterbang Air Canada semalam menggesa Kementerian Pengangkutan Kanada mengambil tindakan proaktif bagi memastikan keselamatan perjalanan udara membabitkan orang awam di negara itu.

Syarikat penerbangan di Ethiopia, China, Indonesia dan tempat lain dilaporkan sudah mendaratkan pesawat Boeing 737 Max 8 Isnin lalu, susulan kebimbangan dari segi keselamatan.

Meskipun kebimbangan berkaitan pesawat jenis Max 8 terus memuncak di Kanada memuncak, Garneau berkata, orang ramai tidak seharusnya membuat andaian mengenai punca nahas kerana ia mungkin satu daripada “berpuluh-puluh kemungkinan berbeza”.

“Saya akan, tanpa teragak-agak menaiki sebuah pesawat model itu ketika ini. Saya memberi jaminan kepada rakyat Kanada, kami akan berusaha menentukan punca nahas di Ethiopia. Pesawat ini telah melakukan berjuta-juta batu penerbangan.”

Beliau berkata, memandangkan kotak hitam dan sumber kritikal data penerbangan lain sudah ditemui di lokasi nahas, siasatan boleh dilakukan dengan pantas.

Dua syarikat penerbangan utama Kanada – Air Canada dan WestJet – dibanjiri soalan daripada media sosial berkaitan keselamatan pesawat mereka, susulan nahas Ahad lalu.

Kedua-dua syarikat itu yakin dengan keselamatan Boeing 737 Max 8 dan akan terus menerbangkannya.

Boeing 737 Max 8 adalah model agak baru dan digunakan kedua-dua syarikat penerbangan itu pada 2017.