Polis siasat dakwaan anak tiri bekas CEO Cradle Fund dicabul dalam tahanan

Fuzi Harun berkata, polis akan menjalankan siasatan lanjut kerana serangan secara fizikal dan seksual ke atas tahanan tidak sepatutnya berlaku.

NIBONG TEBAL: Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah seorang tertuduh juvana dalam kes bunuh bekas ketua pegawai eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan, yang didakwa dicabul ketika dalam tahanan.

Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut kerana perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku.

“Sekiranya ada dakwaan sedemikian, kita jalankan siasatan. Kes itu berlaku di pusat tahanan di Kuala Lumpur, jadi saya akan mengarahkan pegawai polis Kuala Lumpur untuk memberi perhatian kepada dakwaan itu,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang memaklumkan anak guamnya dalam kes bunuh itu diserang secara fizikal dan seksual ketika ditempatkan di Asrama Sentosa, Sentul, Kuala Lumpur.

Hisyam mengemukakan aduan itu sewaktu prosiding kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, di mana anak guamnya bersama balu Nazrin, Samirah Muzaffar dan seorang lagi tertuduh juvana berumur 13 tahun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Siasat kenyataan Guan Eng

Fuzi menambah, polis juga membuka kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kerjasama Umno dan PAS yang didakwa berunsur hasutan.

Katanya, polis menerima 58 laporan polis yang dibuat terhadap Guan Eng berhubung perkara itu dan siasatan akan dibuat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya perlu, kita akan memanggil beliau (Guan Eng) untuk mengambil keterangannya bila tiba masanya,” katanya.

Beliau turut menafikan polis lambat mengambil tindakan berhubung perkara itu selepas Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP dan ahli Parlimen Bagan itu didakwa membuat kenyataan berkenaan minggu lepas.

“Ia (dakwaan polis lambat bertindak) tidak tepat. Kita terus membuka kertas siasatan selepas menerima laporan polis minggu lalu,” katanya.