Putrajaya teliti semula pembelian Boeing 737 Max

Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopia Airlines terhempas di ibu negara Ethiopia, Ahad lalu mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal. (Gambar Reuters)

HONG KONG: Malaysia akan meneliti semula cadangan pembelian 25 pesawat Boeing 737 MAX 8, lapor Nikkei pada Isnin, memetik kenyataan menteri hal ehwal ekonomi, selepas berlakunya nahas ke-2 pesawat terbabit, kurang 6 bulan lalu.

Nikkei memetik Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali sebagai berkata Khazanah Nasional Berhad perlu membuat “penelitian semula” mengenai perjanjian pembelian pesawat untuk syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Airlines.

“Pengurusan Khazanah harus meneliti perkara ini dengan segera. Ini untuk memastikan keselamatan syarikat penerbangan, yang paling utama,” kata Azmin menurut laporan itu.

Boeing 737 MAX 8 milik Ethiopia Airlines terhempas beberapa minit selepas berlepas dari ibu negara Addis Ababa ke Naibori, Kenya pada Ahad yang mengorbankan semua 157 penumpang dan anak kapal.